JANGAN LAGI BERPECAH, WUJUD KEM DALAM UMNO – ZAHID

SUNGAI PETANI – Ahli Umno diingatkan agar tidak lagi berpecah dan mewujudkan kem tertentu dalam partiĀ  jika mahu menang besar dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, cukuplah selama ini pembangkang meraih kesempatan untuk menang bagi kerusi yang selama ini milik Umno dan BN disebabkan kelemahan anggota sendiri.

“Pembangkang tidak kuat sebenarnya tetapi kita yang lemah. Bila kita lemah dan berpecah, depa (pembangkang) akan ambil kesempatan…cukup-cukuplah kita berpecah.

“Masalah di Kedah (pada PRU12) pembangkang ambil alih sebab kita pada masa itu nak padankan muka orang dan lepas itu padan muka kita sebab kita hilang negeri. Pada PRU14 kena tebus maruah untuk dapatkanĀ  semula kerusi yang kalah sebelum ini,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Sungai Petani di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Jerai yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Datuk Abdul Rahim Saad.

Menyentuh Umno Bahagian Sungai Petani, Ahmad Zahid berkata, perpecahan yang berlaku sebelum ini juga adalah antara punca parti itu gagal pertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani, Dun Bakar Arang dan Sidam.

“Kekalahan ini harus ditebus semula dan tidak mustahil untuk menang semula di kerusi berkenaan jika kita bersatu,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak termasuk parti-parti komponen di kawasan Parlimen Sungai Petani diminta menggandakan usaha untuk memperoleh semula kerusi-kerusi berkenaan.

“Saya juga tidak campur urusan parti komponen lain tetapi minta mereka pilih calon tempatan dan Umno akan menolong capai kemenangan,” katanya.

Beliau menegaskan Sungai Petani adalah hak Umno dan BN dan sekiranya semua pihak bersatu padu sudah tentu pembangkang akan gagal selepas ini.

Ahmad Zahid juga meminta ahli Umno jangan menjadi batu api cuba melaga-lagakan pemimpin yang akhirnya menyebabkan Umno lemah.

Beliau juga mengejutkan anggota perwakilan apabila menjemput Abdul Rahim dan bekas Ketua Bahagian Umno, Datuk Ali Yahaya ke pentas untuk bersalaman sebagai simbolik kepada perpaduan parti.

“Pemimpin kena ingat mereka berada di atas pentas ini kerana anggota di bawah. Bagi Sungai Petani, selesailah segala masalah dengan roh dan semangat Umno sepenuhnya,” katanya.

Timbalan perdana menteri kemudian turut meluluskan peruntukan RM2 juta bagi melaksanakan projek-projek kecil di kawasan Parlimen Sungai Petani.

– Bernama

.