‘JANGAN JUAL PLUS, ASET PENTING KWSP’

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Bhd digesa menolak tawaran pembelian PLUS Malaysia Bhd oleh Maju Holdings Sdn Bhd yang dimiliki oleh taikun perniagaan Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Lajnah Ekonomi dan Pembangunan Usahawan PAS (LEPU) menegaskan PLUS adalah aset penting pelaburan KWSP, sudah matang dan mampu memberikan sumbangan dividen mapan serta berkekalan.

Sebagai strategi pelaburan jangka panjang, adalah penting PLUS kekal dalam portfolio KWSP bagi mengekalkan polisi dividen KWSP sedia ada,” kata Timbalan Pengerusi LEPU Mazli Noor.

“Justeru itu semua pemegang saham PLUS, iaitu UEM dan KWSP serta juga pemilik mutlak termasuk Khazanah Nasional Berhad, harus menolak tawaran yang diberikan oleh Maju demi menjaga kepentingan dan kemampan pulangan kepada semua pencarum KWSP.”

KWSP memegang 49 peratus saham PLUS manakala UEM, milik penuh syarikat pelaburan negara Khazanah Nasional Bhd mengawal 51 peratus pegangan.

The Edge pada 12 September lalu melaporkan Maju Holdings telah membuat tawaran untuk mengambil alih syarikat konsesi Lebuh Raya Utara Selatan itu.

Jurucakap Maju Holding berkata mereka telah menyerahkan bidaan rasmi melalui penasihat kewangan kepada UEM dan KWSP untuk memiliki 100 peratus saham PLUS dan anak syarikatnya.

Maju Holdings juga dilapor sudah menghantar surat hasrat (LoI) dan melantik syarikat penasihat kewangan bebas Evercore Group LLC untuk membantu pengambilalihan itu.

Media perniagaan itu melaporkan Pengerusi PLUS Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim mengesahkan menerima surat itu.

Aset strategik negara

Dalam kenyataan hari ini, Mazli berkata, sebagai tabung simpanan wajib pekerja, KWSP harus melihat kepada pulangan jangka panjang sebagai jaminan masa depan pencarum.

Beliau juga berkata sebagai aset strategik negara, daripada segi infrastruktur dan modal, PLUS harus kekal milik kerajaan.

“Perlu dimaklumkan bahawa selaku syarikat berkaitan kerajaan (GLC), PLUS mendapat pengecualian cukai sepanjang tempoh konsesinya.

“Ini bagi tujuan untuk mengurangkan kos bagi membantu pengurusan bon yang ditawarkan oleh PLUS, yang mana sebanyak RM11 bilion daripadanya dijamin oleh kerajaan,” katanya.

– M’kini

.