JANGAN JADIKAN AGENSI KERAJAAN ‘TONG SAMPAH’

SHAH ALAM – Agensi-agensi kerajaan yang menjaga kepentingan rakyat perlu dibebaskan daripada penguasaan orang politik.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, amalan melantik bekas ahli parlimen, bekas menteri dan bekas menteri besar bagi tujuan membalas budi perlu dihentikan.
“Tolong jangan jadikan agensi-agensi kerajaan ini seperti ‘tong sampah’ untuk menempatkan mereka yang tidak memiliki intergriti, kepakaran dan kelayakan, semata-mata hanya mahu menyambung talian hayat politik mereka.
“Amanah berpendapat agensi-agensi kerajaan ini harus ditadbir oleh bekas-bekas dan  pegawai kerajaan yang terbukti punya integriti, kemahiran serta rekod perkhidmatan baik, bersih dan cemerlang,” katanya dalam kenyataan,hari ini.

Menurut beliau, antara dua tokoh yang berkemampuan menerajui agensi ini ialah bekas Ketua Setiausaha Negara, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.

“Kedua-dua sosok ini telah mencurahkan jasa besar kepada negara dan memperlihatkan kemampuan dan integriti mereka sebelum ini.

“Malah bukan mereka sahaja, saya yakin ramai lagi nama boleh dibariskan untuk menerajui agensi-agensi kerajaan dan memacunya ke tahap lebih baik,” katanya.

– SH

.