JANGAN JADI BONEKA PUTRAJAYA, KATA NURUL IZZAH PADA ABANG JOHARI

DISEKAT masuk ke Sarawak, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar menggesa agar Ketua Menteri Abang Johari Openg tidak terus menjadi boneka Perdana Menteri Najib Razak.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata walaupun menghormati hak negeri Sarawak untuk menyekat atau mengusir seseorang masuk ke negeri itu, Abang Johari tidak seharusnya menyalahgunakannya untuk kepentingan politik.

“Tiada perubahan kepada keangkuhan kuno elit Barisan Nasional (BN) Sarawak.

“Kami merayu kepada mereka agar tidak terus menjadi boneka kepada rejim Najib,” kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insight.

Nurul Izzah berkata beliau menerima pengesahan daripada Pejabat Ketua Menteri yang namanya memang ada dalam senarai individu dilarang masuk ke Sarawak.

Semalam Nurul Izzah membatalkan perjalanannya ke Sarawak kerana bimbang akan dilarang masuk ke negeri itu selepas dua pemimpin PKR, Zuraida Kamaruddin (Ampang) dan Hee Loy Sian (PJ Selatan) dilarang masuk sebaik tiba di Miri pada jam 2 petang.

Sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sepetang Chua Chee Ling tidak sempat menghabiskan ucapannya pada majlis makan malam Pink Diamond malam tadi, selepas didatangi pegawai Imigresen Sarawak untuk dibawa ke lapangan terbang sebelum diusir ke Kuala Lumpur.

Pemimpin PKR dijadualkan berada di Miri untuk menghadiri majlis makan malam bagi mengumpul dana malam tadi dan menyertai Purple Women’s Walk – satu protes membantah “politik toksik” – pagi ini.

Nurul Izzah turut mempersoalkan mengapa Abang Johari bertindak sembarangan dalam menyekat dan mengusir pemimpin pembangkang ke negeri itu.

“Mengapa Dr Mahathir dibenarkan masuk?

“Bagaimana ketua menteri bertindak sembarangan dalam arahan mengusir atau menyekat seseorang masuk?

“Beliau menyekat dan mengusir tiga wanita seperti saya, Chua Yee Ling dan Zuraida Kamaruddin dengan menyalahgunakan undang-undang Imigresen negeri yang diberikan.”

Semalam, Abang Johari memberi jaminan Sarawak tidak akan menghalang Dr Mahathir Mohamad, Lim Kit Siang dan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang lain daripada memasuki negeri itu untuk ceramah pertama mereka di Kuching yang dijadualkan berlangsung hari ini.

Ketua menteri Sarawak itu juga menyifatkan pemimpin PH sebagai “tidak penting”.

Dr Mahathir akan berada di Sarawak hari ini untuk ceramah pertamanya bersama PH di negeri itu.

Disebabkan dihalang masuk, Nurul Izzah hanya memberikan ucapan melalui video yang disiarkan dalam majlis makan malam di Miri semalam.

“Kami menghormati hak negeri tetapi apakah jenis perubahan yang bermakna dalam kehidupan rakyat jelata sekiranya pemimpin takut dengan bayang-bayang sendiri dalam sebuah negeri yang seharusnya demokratik?

“Mereka seharusnya memastikan Sarawak mempunyai sistem semak imbang agar terus berupaya berdiri teguh dengan identiti sendiri,” katanya.

Pemimpin PKR Sarawak Baru Bian hairan apa yang ditakutkan kerajaan negeri selepas tiga pemimpin Partinya dari semenanjung dihantar keluar dari negeri itu semalam menjelang ceramah pertama Dr Mahathir di Kuching hari ini.

Baru terkejut terutama dengan cara ADUN Kuala Sepetang diarahkan pulang ketika menghadiri majlis kutipan dana di Miri dan dihantar menaiki pesawat terakhir kembali ke semenanjung.

“Jabatan imigresen, di bawah arahan kerajaan negeri, mengambil tindakan yang sangat ekstrem,” kata Baru kepada The Malaysian Insight.

– https://www.themalaysianinsight.com

.