‘JANGAN HERET MALAYSIA KE KONFLIK KUASA BESAR DUNIA’

SHAH ALAM – Pertimbangan kerajaan Malaysia terhadap tawaran China untuk membina Pusat Tindak Balas Perisikan Wilayah di negeri Johor yang turut dilengkapi radar pengawasan dan sistem peluru berpandu dikhuatiri mengheret negara ke kancah konflik kuasa besar dunia.

Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata, tawaran itu adalah momentum negara tembok besar itu dalam memperkukuhkan pencerobohannya di Laut China Selatan.

“Laporan Asia Maritime Transparency Initiative (AMTI) menyatakan bahawa China hampir menyiapkan lebih 20 struktur bangunan di tujuh pulau buatan di lokasi yang menjadi perebutan di sekitar Laut China Selatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, pulau buatan itu turut dilengkapi sistem pertahanan, termasuk senjata anti pesawat, anti peluru pepandu dan pelancar misil jarak jauh.

Justeru katanya, pertemuan  pada November ini bersama Presiden China berhubung tawaran China perlu diperhalusi sedalam-dalamnya agar nanti Malaysia tidak akan terheret sama dalam kancah perebutan kuasa besar dunia.

“Negara-negara Asean perlu terus kekal neutral, sungguhpun Singapura dan Filipina merupakan rakan karib AS, tetapi yang paling penting ialah tiada mana-mana negara Asean yang membuka wilayahnya untuk pengkalan pertahanan kuasa luar,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengharapkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak terburu-buru ingin menjadikan Malaysia sebagai satelit China yang baharu.

“Jangan sampai nanti pentadbiran negara akan mengikut telunjuk China. Lihat sahaja pengalaman negera-negara¬† Africa yang menerima pelaburan gergasi dan pinjaman China yang akhirnya merana terpaksa akur kepada negara pemodal gergasi dunia ini.

“Masih sempat untuk Najib bertindak demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

– SH

.