JANGAN HARAP DR MAHATHIR SAJA UNTUK TEMBUSI FELDA, KATA PEMERHATI

PEMERHATI masih belum yakin dengan usaha yang ditunjukkan Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sokongan di kawasan tanah rancangan Felda.

Pengerusi Eksekutif Ilham Center Hisommudin Bakar berkata PH setakat ini sudahpun melakukan langkah tepat dengan meletakkan Bersatu di hadapan untuk mengetuai asakan ke kawasan tanah rancangan.

Katanya, langkah itu tepat kerana Bersatu mempunyai kelebihan sebagai parti serpihan Umno untuk menembusi kawasan deposit tetap undi BN itu.

Bagaimanapun PH masih gagal menyaingi tawaran BN kepada peneroka dan sebaliknya hanya membangkitkan kemarahan peneroka terhadap kerajaan melalui sentimen dan isu

“Sekarang mereka hanya bergantung kepada pengaruh Dr Mahathir dan menyerang pemimpin Umno,” kata Hisommuddin kepada The Malaysian Insight.

Katanya, PH seharusnya sudah bergerak dalam kawasan Felda untuk membawa tawaran lebih baik kepada pengundi berbanding BN.

“Mereka tidak lagi boleh hanya mengharapkan sentimen dan simpati pengundi, mereka perlu kemukakan tawaran kepada pengundi dan saya rasa sekarang adalah masa yang sesuai.

“Isu penanaman semula yang diuruskan Felda itu isu besar tetapi PH tidak melihatnya sebagai pemangkin undi, mereka masih guna isu, main sentimen dan kemarahan untuk pancing undi,” katanya.

Katanya, PH perlu memberikan fokus kepada permasalahan pokok peneroka Felda iaitu hutang yang membelenggu mereka dan harga komoditi yang tidak kompetitif.

“PH tidak serius menangani isu ini,” katanya lagi dan menambah, PH perlu mencari cara mengatasi sentimen ‘jasa BN’.

Katanya, sentimen itu membuatkan peneroka terhutang budi kerana menerima tanah untuk diduduki.

“PH perlu mencari jalan meruntuhkan dominasi sentimen jasa BN kepada peneroka, mereka perlu membawa naratif lain untuk meruntuhkan kepercayaan itu,” katanya lagi.

Beliau berkata BN juga sudah mengemukakan tawaran yang dilihatnya mampu menarik sokongan peneroka.

Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman berkata pihaknya sedang merancang program besar-besaran untuk menarik pengundi Felda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan Mazlan Aliman berkata pihaknya sedang merancang program besar-besaran untuk menarik pengundi Felda. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Januari, 2018.

Pada Julai tahun lalu, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan enam insentif untuk peneroka antaranya pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Najib turut mengumumkan bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.

Felda dengan memikul tanggungjawab bertanding separuh daripada keseluruhan kerusi Parlimen dalam kawasan tanah rancangan di Semenanjung Malaysia.

Mengulas mengenai tawaran itu, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) Mazlan Aliman berkata, NGO tersebut sedang merancang satu program besar-besaran untuk menarik pengundi Felda.

“Kita akan kemukakan pakej perubahan kepada peneroka, satu program besar-besaran untuk mendapatkan lonjakan undi kepada kita,” katanya.

Menurutnya, program berkenaan akan menyentuh isu besar Felda yang menjadi masalah kepada peneroka.

Tambahnya, Bersatu adalah parti yang sesuai untuk kerusi Felda kerana pengalaman pemimpin mereka ketika bersama Umno.

Beliau berharap dengan kerjasama Bersatu, Anak akan dapat menembusi kawasan yang sebelum ini tidak dapat dimasuki.

“Bersatu ada kekuatan akar umbi dan pemimpinnya dikenali kebanyakan pengundi Felda, itu memudahkan kami memasuki kawasan Felda,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bersatu memikul tanggungjawab bertanding separuh daripada keseluruhan kerusi Parlimen dalam kawasan tanah rancangan di Semenanjung Malaysia.

Bersatu akan bertanding di 27 kerusi Parlimen dalam kawasan Felda, separuh daripada keseluruhan 54 kerusi di tanah rancangan itu di semenanjung.

Sejumlah 26 kerusi Felda yang lain akan ditandingi rakan kongsinya – 13 kerusi oleh PKR, lapan Amanah dan lima DAP.

Sebanyak 92 kerusi DUN juga termasuk dalam kawasan tanah rancangan Felda di seluruh negara.

– https://www.themalaysianinsight.com

.