‘Jangan ganggu kami di Pekan’

PEKAN  – Penganjur Bersih yang dikatakan mahu mengadakan Jelajah Bersih 5 ke daerah ini hujung minggu ini diminta membatalkan hasrat itu kerana penduduk tidak mahu diganggu dengan provokasi pihak berkenaan.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan, Shahruddin Ahmad berkata, penganjur himpunan itu dijangka ke daerah ini pada 23 Oktober ini dan berharap mereka tidak meneruskan hasrat berke­naan.

Katanya, bulan ini adalah bulan memuliakan Hari Keputeraan Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah justeru tidak wajar mereka merosakkannya kerana banyak program rasmi kerajaan akan di­adakan di Istana Abu Bakar di sini.

“Ramai tetamu Sultan Ahmad Shah dan kerajaan negeri ke majlis-majlis keraian yang dirancang lebih awal,” katanya selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini hari ini.

Pemuda UMNO Bahagian Pekan dan beberapa pertubuhan bu­kan kerajaan (NGO) daerah seperti Majlis Belia Daerah dan Belia 4B Pekan membuat laporan polis bagi meminta pasukan ke­selamatan itu menghalang Jelajah Bersih 5 ke daerah ini.

Shahruddin berkata, perhimpunan Bersih akan merosakkan perpaduan dalam kalangan masyarakat di daerah ini mene­rusi penyebaran risalah dan maklumat yang tidak sahih serta pelbagai hasutan dilemparkan.

Tindakan sedemikian kata­nya, bercanggah dengan Perlembagaan kerana perpaduan dan kebersamaan begitu penting untuk rakyat mengharungi kehidupan bermasyarakat harmoni.

Katanya, perhimpunan itu juga boleh menyebabkan persekitaran menjadi kotor dan kerosakan ke­mudahan-kemudahan awam di daerah ini.

“Sikap dan cara perhimpunan Bersih dilihat menjurus kepada penglibatan kumpulan gengster melalui beberapa insiden yang berlaku sebelum ini,” katanya.

– http://www.utusan.com.my/

.