JANGAN EMOSI, KATA BUNG MOKHTAR KEPADA TONY FERNANDES

TONY Fernandes tidak sepatutnya emosi sebaliknya menerima pandangan awam, kata Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Mokhtar Radin.

Bung berkata beliau tiada apa-apa masalah dengan Fernandes dan hanya membangkitkan perkara yang menjadi kebimbangan awam berhubung penerbangan tambang murah, AirAsia.

“Itu sebabnya saya kata demikian, dia tidak sepatutnya beremosi. Saya bercakap berdasarkan pengalaman dan aduan yang saya dengar daripada rakyat.

“AirAsia sepatutnya bertindak sebagai syarikat penerbangan tambang murah, tetapi tidak,” kata Bung kepada The Malaysian Insight.

Pada Selasa, Timbalan Menteri Pengangkutan Abdul Aziz Kaprawi berkata, Putrajaya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap AirAsia sekiranya benar dakwaan syarikat penerbangan tambang murah itu tidak mempedulikan kebajikan pengguna.

Katanya, perkara itu sudah dibincangkan dengan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan ia selaras dengan Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Pindaan) 2015 (Akta 771) yang melindungi kepentingan pengguna.

Beliau berkata demikian sebagai maklum balas terhadap gesaan Bung yang mahu kerajaan lebih tegas berhubung dasar syarikat penerbangan tambang murah.

Bung berkata, AirAsia tidak bertimbang rasa kerana membuatkan penumpangnya terpaksa membeli tiket baru walaupun hanya terlewat 10 minit, yang mana ia berbeza dengan dasar syarikat penerbangan tambang murah antarabangsa yang akan membantu pelanggan mendapatkan tempat tanpa caj tambahan.

Bung juga berkata, harga tiket AirAsia mahal kerana ia boleh mencecah sehingga RM2,000 yang tidak sejajar dengan dasar syarikat sebagai syarikat penerbangan tambang murah.

Fernandes bagaimanapun menyatakan ketidakpuasan hatinya berhubung aduan itu menerusi Twitter.

“Beberapa Ahli Parlimen mengadu tentang AirAsia selama 16 tahun. Namun sebelum AirAsia terdapat hubungan yang sangat kecil antara timur dan barat Malaysia. Tidak ada penerbangan KL-Sandakan.

“Kenapa tidak Ahli Parlimen yang sama mengadu tentang peningkatan 100 peratus caj lapangan terbang Malaysia,” tweet Fernandes.

Bung bagaimanapun berkata, kenyataannya itu bukan untuk menafikan sumbangan AirAsia kepada negara

“Saya hormati beliau (Fernandes), tetapi beliau juga sepatutnya sediakan khidmat CSR (tanggungjawab sosial korporat) kepada penduduk luar bandar,” kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu dan menambah ia bukan satu masalah besar bagi pemilik syarikat itu yang sudah banyak meraih kekayaan melalui syairkat pernerbangan bajet itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.