JANGAN BULI PENJAWAT AWAM ISU IMAMS

Pembatalan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) sehari selepas dilancarkan dan kenyataan bercanggah menteri kabinet berhubung perkara itu menunjukkan kecelaruan pentadbiran Putrajaya, kata Parti Amanah Negara (AMANAH).

Timbalan pemuda parti itu berkata, kerajaan juga tidak seharusnya membuli penjawat awam dengan menyalahkan mereka.

“Kenyataan bercanggah dan langkah u-turn menteri-menteri kabinet ini menunjukkan kecelaruan dan haru-biru pentadbiran Putrajaya hari ini.

“Amat menyedihkan apabila mereka seolah-olah meletakkan kesalahan ke atas penjawat awam kononnya gagal memberikan maklumat tepat atau melakukan kerja dengan tidak teratur dan efisyen.

“Persoalannya bagaimana dasar IMAMS ini boleh dilluluskan kabinet dan dibawa ke perbahasan peringkat jawatankuasa bajet kementerian di Parlimen tanpa maklumat lengkap tentang perkara teknikal termasuk senarai pemilik dan pengarah syarikat dan butiran caj,” katanya.

Justeru, kata Faiz, kabinet perlu mengambil tanggungjawab penuh atas kesilapan itu dan berhenti membuli penjawat awam.

“Penjawat awam hanya menjalankan kerja sepertimana arahan dan kehendak menteri. Pemuda AMANAH menzahirkan keyakinan penuh ke atas kemampuan dan kredibiliti penjawat awam dalam menjalankan tanggungjawab awam kepada rakyat dan negara.

“Yang membawa masalah kepada rakyat dan negara adalah kebinet yang tercalar dengan pelbagai skandal korupsi dan tadbir urus yang salah dan lemah.

“Seharusnya menteri yang bertanggungjawab meletakkan jawatan dan memohon maaf kepada penjawat awam terutama di kementerian terbabit,” katanya.

Dalam kenyataan itu, Faiz turut menggesa kerajaan mengambil langkah yang lebih efisyen menangani penipuan pakej umrah dan menyarankan agar Tabung Haji dijadikan pusat pengendali permohonan visa umrah secara percuma.

“Pemuda AMANAH juga menggesa agar kerajaan mengambil langkah yang lebih efisyen dan tidak membebankan rakyat dalam menangani penipuan pakej umrah termasuk meningkatkan pemantauan ke atas semua aktiviti agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat.

“Tabung Haji boleh dijadikan pusat pengendali permohonan visa umrah tanpa apa-apa caj dikenakan atas dasar tanggungjawab sosial korporat. Ini adalah kerana Tabung Haji adalah badan berkanun yang diyakini rakyat dalam urusan ibadat haji dan umrah yang lebih selamat,” katanya.

IMAMS yang diperkenalkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah dibatalkan pada 16 Disember lalu, sehari selepas dilancarkan.

Pembatalan itu ekoran aduan orang ramai berkenaan caj bayaran wajib sebanyak RM90.10 kepada setiap jemaah, selain penglibatan bukan Muslim dalam syarikat Imams Sdn Bhd.

Timbalan kementerian itu, Datuk Mas Ermieyati sebelum ini mendakwa beliau tidak tahu berkenaan penglibatan bukan Muslim dalam syarikat itu dan hanya mengetahuinya selepas sidang media pelancarannya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pula mendakwa beliau tidak setuju dengan sistem IMAMS dan menyokong pembatalan itu sebagai satu langkah yang tepat.

– M’kini

.