JANGAN BUAT SPEKULASI PENAHANAN KSU – ISMAIL SABRI

BERA: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai penangkapan Ketua Setiausaha kementerian itu oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata semua pihak perlu membiarkan SPRM menjalankan tugas dan tidak sepatutnya ada apa-apa gangguan daripada pihak yang tidak berkaitan dalam siasatan rasuah ke atas Datuk Mohd Arif Ab Rahman.

“Pelbagai soalan dan spekulasi telah timbul mengenai perkara ini, yang mana ia adalah normal, tetapi tidak perlu melayan mereka.

“Kita mesti biarkan SPRM untuk menjalankan tugas mereka,” kata Ismail Sabri selepas sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah di sini Jumaat.

Beliau juga berkata, kementeriannya akan memberi kerjasama sepenuhnya jika diperlukan SPRM.

“Saya dimaklumkan dan apa yang tersebar di media sosial mengenai kes ini berkaitan dengan perkhidmatannya ketika bersama kerajaan negeri Selangor, manakala beliau baharu sahaja menyertai kementerian ini pada tahun 2015 atau 2016.

“Apa yang tersebar luas di media sosial tidak ada kaitan dengan prosedur di kementerian saya. Sebab itulah ianya tidak sesuai untuk mengulas perkara yang di luar pengetahuan saya ,” kata Ismail Sabri.

Mohd Arif telah ditahan SPRM pada Rabu atas dakwaan salah guna kuasa dan rasuah di rumahnya di USJ3, Subang Jaya, manakala dua anaknya ditahan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya selepas mereka dipanggil untuk disoal siasat.

Pegawai-pegawai SPRM menemui jongkong emas, 150 beg tangan, jam tangan berjenama dan mata wang asing ketika proses pencarian di rumahnya.

–¬†http://www.mstar.com.my/

.