JANGAN BODOH! NAJIB PERLU BIJAK TANGANI ISU KOREA UTARA – AMANAH

KUALA LUMPUR – Kerajaan seharusnya menggunakan kebijaksanaan dan bukannya menunjukkan sikap berkonfrontasi dalam menangani isu ketegangan di antara Malaysia dan Korea Utara.

Pengerusi Biro Antarabangsa Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata, situasi semasa yang berlaku memerlukan kerajaan untuk mengutamakan diplomasi dan bukannya sikap ingin mengambil kesempatan bagi menjadi wira sehingga menimbulkan risiko kepada rakyat negara ini yang masih berada di Korea Utara.

“Kita mesti kenal lawan yang kita hadapi serta watak dimilikinya.

“Kita menghadapi situasi di mana rakyat Malaysia kini terkandas di Korea Utara,”katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Luar Korea Utara mengeluarkan arahan bagi melarang pegawai dan kakitangan  kedutaan Malaysia di sana untuk keluar dari negara tersebut.

Sehubungan itu, kerajaan Malaysia turut mengambil tindak balas daripada arahan berkenaan dengan melarang pegawai serta kakitangan kedutaan Korea Utara daripada meninggalkan negara ini.

Ketegangan ini berlaku susulan daripada kes pembunuhan abang tiri kepada pemimpin utama Korea Utara, Kim Jong Nam di KLIA2 baru-baru ini.

Sehubungan itu, Raja Kamarul memaklumkan bahawa bagi memastikan keselamatan rakyat Malaysia di sana terjamin, kerajaan tidak seharusnya mengikut rentak pihak berkenaan dan berbalas tindakan sedemikian.

“Sebaik-baiknya pihak ketiga harus di cari untuk menjadi orang tengah bagi meredakan keadaan ke arah penyelesaian krisis ini.

“Yang paling penting adalah kewarasan dan kebijaksanaan mesti mendahului segala-galanya,”katanya.

Dalam pada itu, Ketua Wanita Amanah , Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan seharusnya memberi taklimat kepada semua ahli Parlimen seperti yang dicadangkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, menerusi taklimat ini, pihak pembangkang boleh membuat pendirian rasmi berhubung krisis yang melanda negara pada masa kini.

“Dan kami amat berharap agar kerajaan dapat menangani isu ini dengan penuh kebijaksanaan dan kesabaran,”katanya.

– SH

.