JANGAN BIAR KES TANAH FELDA JADI SEPERTI KES ‘VIDEO BALI’

AHLI Parlimen Puchong Gobind Singh Deo bimbang jika siasatan ke atas skandal pemindahan hak milik tanah Felda di Jalan Semarak disenyapkan sahaja seperti siasatan ke atas kes “Video Bali”.

Katanya, siasatan ke atas tanah Felda itu perlu dijelaskan memandangkan Pengerusi Felda Shahrir Samad sendiri mengakui terdapat elemen penipuan dan salah guna kuasa dalam proses tersebut.

“Adakah ini bermakna tamat sudah siasatan polis? Sepatutnya perkara ini diuruskan polis kerana adanya dakwaan elemen penipuan jenayah.

“IGP mesti jelaskan. Saya harap siasatan ini tidak seperti siasatan video klip di Bali yang tiba-tiba senyap,” katanya.

Isu “Video Bali” itu merujuk kepada siasatan ke atas penularan satu rakaman video didakwa menunjukkan salah laku ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Video berkenaan didakwa menunjukkan pegawai tinggi SPRM itu membawa isteri orang bercuti di Bali.

“Dengan rasa hormat, saya (nyatakan) ini tidak beri gambaran baik kepada pasukan polis di bawah kepimpinan IGP sekarang. Saya harap beliau akan memberi respon dan jelaskan status siasatan terkini,” kata beliau.

Tegasnya, polis juga perlu menjelaskannya mengenai kes pemindahan tanah Felda tersebut memandangkan Ketua Polis Negara (IGP) menyatakan bahawa siasatan ke atasnya sudahpun siap.

“Jadi apa yang berlaku dengan siasatan polis terhadap kes ini? Laporan dibuat pada 12 Disember tahun lalu. IGP berkata siasatan telah lengkap dan dihantar kepada AG (Peguam Negara) pada 24 Januari.

“Seterusnya pada 25 Januari tahun ini, AG dalam responnya seolah-olah mencadangkan yang IGP tidak tahu apa yang dikatakan beliau dan siasatan masih ‘jauh daripada selesai’

“Ini melucukan, Kita sedang bercakap mengenai satu kes yang menjadi perhatian umum yang memerlukan jawapan,” kata beliau.

Beliau turut merujuk kenyataan Shahrir dalam sidang tergempar pada malam Khamis lalu, yang mengakui terdapat elemen penipuan dan salah guna kuasa dalam transaksi berkenaan.

Shahrir mengadakan sidang media tergempar itu bagi menjawab dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bahawa hak milik tanah agensi itu dipindahkan selepas beliau dilantik sebagai pengerusi Felda.

Rafizi mendakwa pemindahan hak milik untuk bahagian tanah terbesar antara 16 bidang tanah itu iaitu Lot 29788 berukuran 25,058 kaki persegi didaftarkan pada 6 Mac tahun lepas.

Dalam sidang media tersebut, Shahrir bagaimanapun menjelaskan bahawa beliau tidak tahu menahu mengenai pendaftaran tanah berkenaan walaupun ia dibuat pada Mac ketika beliau menjadi pengerusi Felda.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu menegaskan, pihaknya hanya mengetahui mengenai perjanjian jual beli tanah, namun pendaftarannya dibuat di Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur.

Perdana Menteri Najib Razak pada 22 Disember turut mengarahkan pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pemilikan tanah melibatkan Felda di Jalan Semarak di ibu negara.

“Siasatan akan dijalankan bagi memastikan sekiranya ada kecuaian atau salah laku oleh mereka yang terbabit.

“Langkah memelihara kepentingan Felda dan peneroka perlu diambil,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.