‘JANGAN BERPOLITIK, MENYANYI TAPI BERIBADATLAH’

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, hari ini menitipkan pesan kepada semua yang berangkat mengerjakan haji di tanah suci.

Katanya, ibadah itu adalah masa untuk setiap individu mengerjakan amalan demi agama dan tidak yang lain daripada itu, termasuk politik.

“Jangan gunakan agama untuk politik tetapi gunakan politik untuk perkuatkan agama dan itu pegangan yang harus ada pada kita.

“(Kepada) penyanyi, saya pesan jangan menyanyi sewaktu di sana; rakan-rakan politik saya, saya ingatkan oleh kerana waktu wukuf singkat, gunakan masa singkat itu dekatkan diri dengan Allah,” katanya.

Ahmad Zahid yang sebelum ini pernah diberi tanggungjawab menjaga hal ehwal Islam semasa bertugas sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, adalah lebih wajar jemaah haji memanfaatkan setiap masa yang ada untuk beribadah.

“Kenapa perlu tidur? Kenapa perlu bersembang? Waktu singkat gunakan untuk ibadat, buku-buku doa ada, bacalah,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada majlis pelepasan 483 jemaah haji ke Makkah di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya hari ini.

Penerbangan itu adalah antara yang terakhir berlepas dari negara ini.

Empat ahli kabinet, seorang menteri besar dan tiga selebriti adalah sebahagian daripada 484 jemaah terbabit yang dijadual berlepas hari ini.

Apalah sangat RM500

Mereka ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadzillah Yusof, dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah bersama pasangan masing-masing.

Di kalangan artis, mereka terdiri daripada Datuk Hattan, bekas vokalis Lefthanded, Nash, dan Lan Pet Pet.

Turut hadir menyaksikan pelepasan jemaah haji itu ialah Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim. Beliau juga akan berlepas bersama mereka.

Dalam ucapannya Ahmad Zahid turut mengingatkan Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas agar memohon doa untuk syarikat penerbitan berkenaan.

“Kalau mahu Utusan tidak lagi rugi seperti sekarang, tak payah cari orang, tapi doalah waktu wukuf,” kata Ahmad Zahid.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga naib presiden Umno sempat menegur pimpinan negeri agar tidak memanipulasikan pemberian subsidi terhadap jemaah haji yang akan mengerjakan ibadah itu.

“Jangan politikkan soal ini (subsidi). Kalau ada negeri beri RM500, alhamdulillah, terima kasih.

“Tetapi jangan bangga dengan hanya beri RM500 kerana kerajaan persekutuan beri RM9,570,” kata Ahmad Zahid.

Zahid dipercayai merujuk langkah kerajaan Selangor memberikan insentif RM500 kepada jemaah haji muassasah negeri itu yang bakal menunaikan haji ke Makkah.

Ia dilancarkan Julai lalu, sebagai tanda kepedulian pentadbiran negeri dan MBI kepada bakal jemaah haji muassasah Selangor.

“Negara kita (jemaah haji) cuma bayar RM9,980. kalau ada sebuah negeri yang memberi hanya RM500 kepada jemaah haji dan mengatakan pemberian itu terlalu bagus, ingatlah apa Tabung Haji dan kerajaan Persekutuan buat apabila subsidi diberikan sebab faktor keuntungan dilaksanakan urusniaga tabung haji,” tambah Zahid.

Penerbangan KT112 yang berlepas hari ini adalah kedua terakhir dan dijangka tiba jam di Makkah pada jam 9.10 malam nanti.

– M’kini

.