JAMAL YUNOS TAWAR PINDAH MANGSA BANJIR KE RESORTNYA

Datuk Seri Jamal Md Yunos menawarkan diri untuk memindahkan mangsa banjir yang ditempatkan di Dewan Sri Bernam, Sabak Bernam untuk menginap di resortnya di Sekinchan bermula malam tadi.

Ketua Umno bahagian Sungai Besar itu berkata usaha tersebut dilakukan atas rasa prihatin dengan nasib mangsa yang terpaksa menginap di pusat pemindahan tersebut sejak rumah mereka dilanda banjir, lima hari lepas.

Beliau berkata setiap keluarga akan diberi satu bilik secara percuma sehingga banjir surut termasuk ditampung segala makan dan minum selama menginap di Sekin Resort, miliknya.

Jamal berkata pihak resort juga telah membatalkan beberapa tempahan pelanggan dan tidak menerima tempahan baharu bagi memberi ruang penginapan kepada mangsa banjir di Dewan Sri Bernam, yang setakat malam tadi mencecah 50
keluarga.

“Walaupun apa yang diberikan kerajaan di pusat pemindahan itu adalah baik, ia bersifat sementara malah kebanyakan daripada mereka mempunyai anak-anak kecil yang perlukan lebih perhatian.

“Kebanyakan daripada mangsa memang saya kenal secara peribadi kerana di bawah Parlimen Sungai Besar dan berpendapatan rendah, disebabkan itu saya harap usaha saya ini sekurang-kurangnya dapat memberi keselesaan kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Jamal berkata pihaknya juga akan menyalurkan bantuan kewangan RM200 kepada setiap keluarga mangsa banjir setiap hari bagi membeli keperluan harian termasuk lampin kanak-kanak, susu, makanan bayi, pakaian dan lain-lain.

Beliau berkata jika berlaku pertambahan jumlah mangsa banjir, pihaknya akan melihat kekosongan di resort berkenaan terlebih dahulu memandangkan masih ada pelanggan yang menginap di situ setakat semalam.

Pengerusi Gabungan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu itu turut menyeru orang ramai yang ingin membantu mangsa banjir berkenaan supaya segera melakukannya dengan mengutamakan bantuan pakaian dan keperluan kanak-kanak.

– Bernama

.