JAMAL YANG PERLU LEBIH DULU KEMBALI KE DARJAH SATU….

Bakal Menteri Besar Selangor tajaan UMNO dan BN, Jamal Md Yunos menyelar tindakan Tun Mahathir memulangkan semula pingat yang pernah diterimanya kepada Sultan Selangor.
Beliau menyifatkan apa yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri selama 22 tahun ini memperlihatkan sikap protes dan tidak boleh menerima teguran daripada pihak Istana.
Sehubungan itu, Jamal menyarankan agar Tun Mahathir kembali ke sekolah rendah untuk memahami apa itu Rukun Negara.
“Masuk balik sekolah darjah 1, belajar Rukun Negara. Begitu juga dengan Zaid Ibrahim, balik darjah 1, belajar erti Rukun Negara,  patuh dan taat kepada Rukun Negara, barulah sepatutnya menjadi seorang pemimpin,” kata beliau.
Tetapi, tahukah Jamal apa itu Rukun Negara?
Rukun Negara adalah ideologi kebangsaan yang mempunyai lima teras iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang dan akhir sekali, Kesopanan dan Kesusilaan.
Jika Tun Mahathir dianggapnya tidak memahami Rukun Negara dan perlu kembali ke darjah 1 hanya semata-mata kerana memulangkan pingat kepada Sultan Selangor, apakah Jamal sendiri faham dan menghayati apa itu Rukun Negara?
Sudah berapa kali beliau didapati melanggar undang-undang, ditahan polis dan dilokap,  tetapi kenapa masih juga terus melakukannya?
Bukankah salah satu daripada teras Rukun Negara iaitu Kedaulatan Undang-Undang itu bermakna seseorang hendaklah sentiasa mendaulatkan undang-undang?
Adakah Jamal mendaulatkan undang-undang dalam tindakan, perangai dan kelakuannya setiap hari?
Begitu juga dengan tindakan Jamal yang pernah hanya bertuala mandi pergi ke pejabat SUK Selangor, apakah itu suatu tindakan yang sopan dan penuh susila?
Di mana tindakan dan perangai yang ditunjukkan Jamal itu memenuhi satu lagi teras Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan?

Maka, siapa yang seharusnya lebih dulu kembali ke darjah 1?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.