JAMAL UGUT MAHU ROBOH DISKO, RUMAH URUT DI SABAK BERNAM

Pengerusi Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini mengugut untuk merobohkan sendiri bangunan dan premis yang beroperasi sebagai disko dan rumat urut di sekitar daerah Sabak Bernam.

Katanya, beliau akan berbuat demikian jika Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Pejabat Tanah dan Daerah Sabak Bernam tidak bertindak selepas beliau membuat aduan rasmi hari ini.

Malah, beliau turut mengakui telah pun menyewa mesin pengorek dan jengkaut untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

“Bagaimana sebuah disko boleh beroperasi di Sungai Besar ini hingga pagi?

“Adakah mereka hanya menunggu arahan daripada menteri besar untuk merobohkan dan menutup serta menyita premis-premis seperti ini,” katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.

Jamal yang juga adalah ketua Umno Bahagian Sungai Besar berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pegawai Daerah Sabak Bernam, Mohd Khairuddin Md Som dan Setiausaha MDSB, Awaluddin Zakaria, hari ini.

Beliau yang juga adalah pemilik Sekin Fisherman Village Hotel & Resort sebelum ini berang, apabila MDSB bertindak menyita dan merobohkan sebahagian struktur di resortnya itu minggu lalu kerana beroperasi tanpa lesen yang sah.

Portal itu turut memetik Jamal mendakwa terdapat sembilan pusat judi dan 40 rumah urut termasuk karaoke beroperasi di sekitar daerah Sabak Bernam.

“Sesiapa yang menduduki tanah rizab kerajaan dan tidak berlesen robohkanlah dan perlu diambil tindakan, janganlah tempat saya sahaja, … mesin judi, karaoke takkanlah boleh terlepas pandang,” katanya.
Menurutnya, beliau akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Jumaat ini.

Sebelum ini, Jamal mendakwa tindakan terhadap resortnya itu dibuat susulan ‘bantahan bertualanya’ terhadap gangguan bekalan air di Selangor baru-baru ini.

Beliau juga memfailkan saman terhadap kerajaan negeri Selangor di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

– M’kini

.