Jamal Pertahan Tindakan Anti-Bersih Di Kuala Selangor

PETALING JAYA: Datuk Jamal Md Yunos mempertahankan tindakan penyokong kumpulan anti-Bersih yang mencetuskan kekecohan semasa konvoi kumpulan Bersih 5.0 di Kuala Selangor pada petang Sabtu.

Jamal yang merupakan ketua gerakan Baju Merah berkata, apa jua yang berlaku, tindakan itu akan dipertahankan sekiranya membabitkan penyokong Baju Merah.

“Dari awal kita katakan, kalau tidak ada Kuning, tidak ada Merah. Walaupun hari ini saya katakan kita tumpu di beberapa kawasan untuk persediaan fenomena air pasang besar, tetapi jika ada gerakan Baju Kuning di kawasan lain, ia adalah hak masing-masing.

“Saya hanya kata tumpu di kawasan-kawasan tertentu seperti Sekinchan, Tanjong Karang dan Sungai Besar. Kalau di Kuala Selangor, itu di luar kawasan yang saya maklumkan. Jadi, terpulang kepada anak-anak buah yang berada di sana,” katanya ketika dihubungi mStar Online pada Sabtu malam.
Jamal yang juga Ketua Umno Bahagian Sungai Besar memberitahu beliau kini berada di Dubai untuk transit sebelum meneruskan penerbangan pulang ke tanah air.

Dilaporkan sekumpulan anti-Bersih mencetuskan kekecohan dan didakwa mengasari beberapa pihak termasuk pemberita di luar sebuah pasar raya besar di Kuala Selangor pada petang Sabtu.

Jamal dalam satu kenyataan di akaun Facebooknya pada Jumaat malam berkata, Baju Merah memutuskan untuk tidak menentang kumpulan Bersih 5.0 dalam siri konvoinya pada Sabtu, kerana mahu meneruskan kerja-kerja kebajikan sebagai persiapan awal menjelang fenomena air pasang besar yang dijangka berlaku pada Sabtu sehingga Rabu depan.

Dalam insiden pada kira-kira pukul 6 petang Sabtu, beberapa anggota kumpulan anti-Bersih ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.

Jamal berkata, beliau akan memberikan sokongan termasuk bantuan khidmat guaman sekiranya penahanan itu membabitkan ‘anak-anak buahnya’ dari Baju Merah.

“Saya tetap akan mempertahankan mereka. Bagaimanapun, saya akan mendapatkan pengesahan berhubung kejadian,” katanya.

Wartawan The Star yang merupakan antara dikasari kumpulan Anti-Bersih membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor.

Dalam pada itu, Jamal berkata, beliau akan tampil memberi keterangan kepada polis pada Isnin berhubung insiden membabitkan penyokong Baju Merah yang didakwa menyerang penyokong Bersih di Sabak Bernam, baru-baru ini.

“Saya sepatutnya pulang ke tanah air semalam (Jumaat) tetapi terpaksa ditunda. InsyaAllah saya akan beri keterangan pada Isnin,” katanya.

Sabtu minggu lalu, sekumpulan penunjuk perasaan Baju Merah menerusi satu rakaman video yang menjadi viral, dilihat melontar telur kepada kedua-dua lelaki dengan salah seorang daripadanya ditendang dari arah belakang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, polis akan memanggil Jamal untuk memberi keterangan berhubung insiden berkenaan tetapi perlu menunggu ketua gerakan Baju Merah itu pulang dari luar negara.

– ANN

.