Jamal perlekeh BERSIH 5, tak percaya 19 Nov

Ketua Umno bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Mad Yunos percaya himpunan BERSIH 5 yang dijadual berlangsung pada 19 November depan akan ditangguhkan ke satu tarikh baru.

Jamal berkata, ini kerana sudah setahun berlalu Maria menyimpan hasrat untuk mengadakan himpunan itu namun baru sekarang beliau mendapat tarikhnya.

“Bagi saya, apa yang diumumkan oleh kumpulan ‘binatang sarkis’ ini adalah satu perkara yang kelakarlah untuk BERSIH 5, dah setahun dia umum, hari ini beritahu nak adakan pada 19 November.

“Saya percaya tarikh tersebut tak akan jadi, mereka akan ubah tarikh itu. Sengaja propaganda untuk meracuni pemikiran rakyat, jadi dalam masa dua bulan ini sempatlah mereka nak menipu rakyat untuk turun ke jalan raya,” kata Jamal kepada Malaysiakini.

Jamal berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman Maria bahawa BERSIH 5 akan diadakan pada 19 November depan yang dilihat bakal memberi tekanan kepada kerajaan menjelang pilihan raya umum akan datang.

Mengulas lanjut, Jamal berkata, jika dilihat pada tarikh yang diumumkan Maria iaitu pada 19 November depan, kumpulan tersebut mempunyai masa sekitar dua bulan bagi menganjurkan himpunan itu.

Justeru, Maria disifatkan masih mempunyai masa untuk meracuni pemikiran rakyat agar turun ke jalan raya.

“Kalau tengok tarikh hari ini dia ada 2 bulan lagi jadi sempatlah mereka untuk menipu rakyat kerana (himpunan MO1) sebelum ini tak dapat sambutan dari rakyat dan orang ramai untuk menyertai mereka.

“Dimana BERSIH yang sepatutnya berdemo untuk MO1 telah mempergunakan mahasiswa untuk ‘test market’. Jadi, sebab itu mereka menangguhkan jauh kehadapan tarikh himpunan ini bagi tujuan mereka sempat menipu rakyat dan orang ramai serta menghasut orang ramai untuk turun ke jalan raya menyertai mereka,” kata Jamal.

Bagaimanapun, ketika ditanya sama ada beliau akan turun memprotes himpunan BERSIH 5 ini, ini jawapan Jamal :

“Saya konsisten dengan pengumuman sebelum ini dan selagi mereka tidak mengikuti undang-undang kita akan turun memprotes tetapi jika mereka ikut undang-undang kita tidak akan campur,” kata Jamal.

Pada 23 Julai lalu, Jamal telah melafazkan janji akan membawa himpunan Baju Merah versi kedua untuk berdepan dengan Maria jika BERSIH 5 diadakan.

Malah, Jamal turut menganggarkan lebih 300,000 orang akan turun dan ‘memerahkan’ Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

Jamal juga berkata, orang ramai perlu bangkit menyokong Datuk Seri Najib Razak seperti rakyat Turki mempertahankan Presiden Recep Tayyip Erdogan yang berdepan cubaan rampasan kuasa sebelum ini. – M’kini

.