JAMAL LANGGAR PRINSIP DEMOKRASI

KOTA BHARU – Tindakan ketua kumpulan baju merah, Datuk Seri Jamal Md Yunos menggertak peserta himpunan Bersih 5 untuk tidak hadir, disifatkan sebagai melanggar prinsip demokrasi dan kebebasan bersuara di Malaysia.

Pengarah Komunikasi PKR Kelantan, Mohd Sukirman Mustafa berkata, apa yang dilakukan Jamal itu memperlihatkan satu bencana akan berlaku jika rakyat turun ke himpunan itu nanti, sedangkan ia sebaliknya.

“Tiada apa yang perlu dibimbangkan. Bersih adalah satu gerakan rakyat untuk membawa mesej kepada pemerintah agar dapat mendengar permasalahan rakyat dan bukan gerakan untuk membuat kacau atau mewujudkan situasi huru-hara dalam negara. Tapi apa yang berlaku ini, ia diperlihatkan sebegitu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan Jamal yang didakwa cuba untuk mencipta persepsi negatif kepada penyertaan rakyat dalam perhimpunan Bersih 5 yang dijadualkan berlangsung di ibu negara pada Sabtu ini.

Menurutnya, Jamal sepatutnya bekerjasama dengan menjaga keselamatan peserta ‘baju kuning’ daripada provokasi mana-mana pihak demi mewujudkan suasana yang tenang.

Beliau berkata, tindakan berterusan melakukan ugutan dan provokasi melampau tidak membawa apa-apa kebaikan kepada rakyat mahupun kepada beliau sendiri, selain menimbulkan pelbagai masalah sampingan yang lain.

“Walau apa pun, PKR negeri menggesa rakyat untuk turun bersama-sama menyokong Bersih 5.

“Berdemonstrasi secara aman dan ikuti segala arahan petugas keselamatan yang dilantik, patuhi arahan polis dan berkumpul dalam kumpulan,” katanya.

SINAR HARIAN

.