JAMAL DIBEBASKAN SEHARI LEBIH AWAL

SHAH ALAM – Selepas dua hari ditahan reman, Pengerusi NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunus akhirnya dibebaskan polis kira-kira jam 7.30 malam tadi.

Selain Jamal, tujuh lagi inidividu yang ditahan reman bersamanya dua hari lalu turut dibebaskan.

 Katanya, sepanjang ditahan mereka tak dapat tidur, diambil kenyataan dan sebagainya kawad cam.

“Jadi saya ucapkan ribuan terima kasih kepada pihak polis kerana dapat menjalankan siasatan dengan cepat dan membenarkan kami keluar awal hari ini. Syabas dan tahniah kepada pihak PDRM,” katanya kepada pemberita di luar pekarangan IPD Shah Alam, di sini, hari ini.

Mereka ditahan selepas melakukan demonstrasi dengan memecahkan botol arak di hadapan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Khamis lalu sebelum ditahan kira-kira jam 1.45 pagi Jumaat di Sekinchan.

Sebelum ini, Jamal bersama pengikutnya direman tiga hari bagi membantu siasatan berhubung insiden itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, penahanan itu dibuat selepas polis Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam yang menerima aduan daripada pengawal keselamatan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan iaitu menyertai satu perhimpunan haram dan dibaca bersama Seksyen 268 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan satu kemudaratan awam ekoran tingkah laku yg dilakukan oleh peserta perhimpunan.

Gimik yang dilakukan Jamal adalah simbolik bantahan penganjuran ‘The Better Beer Festival 2017’.

Penganjur telah membawa kira-kira 10 kotak berisi botol beer dan memecahkan kesemua botol tersebut dengan menggunakan sebatang penukul simen di hadapan pintu pagar utama sebagai simbolik bantahan terhadap penganjuran tersebut.

– Sinar Harian

.