JAMAL CETUS SPEKULASI UMNO MINAT KERUSI SEKINCHAN

Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Ketua Umno Sungai Besar, Datuk Jamal Md Yunos terlibat dalam pelbagai aksi publisiti yang dilihat sebagai usaha tersiratnya untuk melonjakkan profilnya, yang membawa kepada spekulasi beliau mempunyai cita-cita untuk bergerak lebih tinggi dalam hierarki politik.

Bagaimanapun, langkah luar biasa beliau mengumumkan calon untuk kerusi Dewan Undangan Negeri Sekinchan baru-baru ini, telah menghangatkan lagi spekulasi itu, memandangkan kerusi tersebut secara tradisinya ditandingi oleh MCA.

Menariknya, Jamal mengumumkan bahawa Ketua Pemuda MCA Sungai Besar, Ng Boon Keong dan juga ahli jawatankuasa Umno Sungai Besar, Samad Wahab sebagai bakal calon bagi kerusi itu.

Jamal, yang membuat pengumuman itu ketika merasmikan bilik gerakan pilihan raya Sabak Bernam pada hari Isnin, mengakui kerusi itu milik MCA tetapi menyatakan bahawa MCA telah kehilangan kerusi itu dalam tiga pilihan raya umum.

Minat yang ditunjukkan terhadap kerusi tersebut bertukar menjadi spekulasi sama ada Umno akan mengambil alih kerusi, ekoran satu kenyataan yang dilaporkan oleh Ketua MCA Sungai Besar Kek Seng Hooi sehari kemudiannya.

Kek dipetik oleh Sinar Harian sebagai berkata MCA ingin bertanding di kerusi itu, tetapi sedia untuk menyerahkan kepada Umno jika Umno boleh menang.

Ketika dihubungi, Kek mendakwa beliau telah disalah petik dan menegaskan bahawa MCA tidak akan melepaskan kerusi itu kepada Umno.

Kek menjelaskan bahawa beliau sebelum ini hanya berkata bahawa keputusan muktamad mengenai siapa yang akan bertanding di kerusi Sekinchan itu terletak pada Majlis Tertinggi BN.

“Kami tidak akan melepaskan kerusi Sekinchan kepada Umno. Kami telah mengemukakan nama calon kami kepada kepimpinan MCA,” katanya.

Beliau berkata calon yang dinamakan oleh MCA ialah Ng, orang yang sama diumumkan oleh Jamal.

Bagaimanapun, Kek berkata beliau tidak melihat sebarang masalah dengan Jamal mengumumkan dua calon bagi kerusi itu.

‘Sekinchan akan kekal dengan MCA’

Sementara itu, Setiausaha MCA Selangor Ng Chok Sin ketika dihubungi menegaskan bahawa kerusi Sekinchan akan dikekal ditandingi oleh MCA.

“Sekinchan milik MCA dan kami tidak akan melepaskannya, kita (dan Umno) adalah sama. Kami adalah sekutu, kita bukan seperti Pakatan Harapan, yang malah hingga sekarang, tidak dapat membuat keputusan mengenai calon perdana menteri mereka,” Chok Sin kepada Malaysiakini.

Bagaimanapun, beliau tidak begitu senang Jamal menamakan dua nama sebagai calon, dengan menegaskan bahawa ia akan diputuskan oleh Dewan Tertinggi BN dan presidennya Datuk Seri Najib Razak dan juga oleh Presiden MCA, Datu Seri Liow Tiong Lai.

ADUN DAP Sekinchan selama tiga penggal, Ng Suee Lim menganggap pengumuman Jamal itu sebagai muslihatnya jika Umno boleh mendapatkan kerusi itu dari MCA.

“Jika MCA bertanding, calon ialah Ng Boon Keong, tetapi jika Umno bertanding, calonnya mungkin Jamal.

“Saya rasa Jamal menamakan Samad Wahab sebagai calon sekarang, hanyalah sebagai sebahagian daripada strategi beliau.

“Akhirnya, Jamal mahu bertanding di kerusi Sekinchan,” kata Swee Lim kepada Malaysiakini.

Namun begitu, beliau berkata, tidak kira sama ada calon dari Umno atau MCA, ia akan merupakan satu pertandingan yang sengit baginya di Sekinchan.

Dalam pilihan raya umum tahun 2004 dan 2008, Ng memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis – masing-masing dengan majoriti 344 undi dan 190 undi.
Disokong dengan populariti kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat, Ng memperolehi majoriti 2,239 undi dalam pilihan raya umum 2013.

Bagaimanapun, gabungan itu telah berkubur dan kini sedang dibelenggu oleh ketidaktentuan, dengan PAS memutuskan hubungan dengan bekas sekutunya.

– M’kini

.