Jamal bidas polis layan pihaknya seperti ‘anjing kurap’

Ketua gerakan Baju Merah, Datuk Jamal Md Yunus mendakwa pihak polis memberi ‘layanan istimewa dan luar biasa’ terhadap peserta BERSIH 5 yang kini mengadakan konvoi di seluruh negara.

Sebaliknya, kata Jamal, pihak berkuasa itu melayan kumpulannya seperti ‘anjing kurap’.

“Kumpulan BERSIH 5 bukan sahaja dijaga rapi, malah pihak polis turut mengiringi setiap konvoi BERSIH 5 mengalahkan escort Perdana Menteri Malaysia.

“Walhal tindakan BERSIH 5 telah terbukti bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah agenda kotor mereka menghasut rakyat untuk menggulingkan kerajaan di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak dengan mencabul sistem demokrasi menerusi turun ke jalan raya.

“Sebaliknya, layanan yang diberikan kepada Gerakan MERAH V2 saya sifatkan seperti anjing kurap,” kata Jamal dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan dua lelaki memakai baju BERSIH dilempar telur oleh kumpulan Baju Merah di Sabak Bernam, Selangor.

Kedua-duanya yang menunggang motosikal diserang apabila mereka melintasi jalan masuk ke kawasan yang dipenuhi kumpulan Baju Merah.

Salah seorang daripada peserta BERSIH itu turut ditendang sebanyak dua kali oleh anggota kumpulan berkenaan.

Bagaimanapun, Jamal berkata pihak polis menyekat kumpulan Baju Merah di setiap lokasi dan menahan tiga daripada mereka.

“MERAH V2 ditahan hampir di setiap tempat dan kami diarahkan pihak polis menghentikan serta merta konvoi kami. Malah seramai tiga penyokong MERAH V2 telah ditahan,” kata Jamal.

Jamal berkata tindakan polis menunjukkan layanan berbeza terhadap peserta BERSIH 5 walaupun mendakwa mereka sebelum ini sering mencetuskan keganasan kepada pihak berkuasa itu.
“Layanan (ke atas) kami amat jauh berbeza jika dibandingkan dengan BERSIH 5.

“Padahal kumpulan BERSIH inilah yang selama ini menghasut rakyat dan menghina pihak polis di sepanjang kempen yang diadakan sejak sekian lama.

“Malah BERSIH sebelum inilah yang mencetuskan keganasan melampau sehingga menggugat keselamatan negara, menyerang pihak polis dan memecahkan kereta polis,” katanya.

– M’kini

.