JAMAL: 300,000 AKAN SEKAT BERSIH PADA 19 NOVEMBER

Pemimpin baju merah Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa 300,000 orang telah menyatakan sokongan untuk berhimpun bagi menyekat BERSIH pada 19 November.

Jika benar, ia akan merupakan tiga kali ganda jumlah peserta semasa kemuncak perhimpunan dua hari BERSIH 4 pada Ogos tahun lepas.

“Kami tidak akan teragak untuk lakukan apa saja untuk menyekat perhimpunan BERSIH.

“Bagi saya perjuangan kita akan kita teruskan walaupun bermandikan darah,” kata Jamal dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Umno Selangor malam tadi.

Jamal telah membuat kenyataan yang sama dalam perhimpunan di Kapar Sabtu lalu dan menjelaskan bahawa “bermandikan darah” bermaksud baju merah berlumur darah mereka sendiri, bukan darah orang lain.

Sementara itu di majlis malam tadi, ketua Umno Sungai Besar itu juga berkata beliau telah mengemukakan permohonan kepada pihak polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk menggunakan Dataran Merdeka, Padang Merbok, dan kawasan sekitarnya pada 19 November

Terdahulu, kira-kira 60 kumpulan hak Melayu menyatakan sokongan mereka kepada perjuangan Jamal.

Jurucakap mereka, Presiden Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris) Jaafar Shaari berkata mereka menyokong Jamal kerana mereka mahu negara terus kekal aman.

“Kita hadir bukan kerana dibayar, kita terpanggil untuk turun secara sukarela menyatakan apa yang dilakukan oleh Jamal adalah hasrat kita.

“Sebab kita tidak suka negara diganggu gugat, dikacau bilau sebab negara kita aman selama ini,” kata Jaafar.

Sementara itu, pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar, yang beredar dari majlis itu sebelum sidang akhbar itu diadakan, berulang kali mengingatkan mereka yang mahu menyertai perjuangan Jamal supaya mematuhi undang-undang.

“Hormati undang-undang, tiada siapa mengatasi undang-undang,” kata Noh dalam ucapannya, sambil berkata malah Jamal telah ditangkap sebelum ini.

Jamal ditahan semalaman minggu lepas brhubung dakwaan posting Facebook yang dilaporkan mengancam keganasan.

Dia disiasat atas dakwaan fitnah dan ugutan jenayah di bawah Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia serta Seksyen 4 (1) Akta Hasutan.

MKINI

.