‘JAHANAM AMANAH’ BERGEMA DI MUKTAMAR ULAMA PAS

Laungan ‘Jahanam PAN’ bergema ketika upacara perasmian Muktamar Dewan Ulama PAS ke-56 di dewan Sekolah Rendah Darul Ulum, Alor Setar, Kedah.

Laungan itu dimulakan oleh Ketua Dewan Ulama PAS Kedah, Mohd Rejab Md Akhir.

Sebelum laungan ‘Jahanam PAN’ dilontarkan, Mohd Rejab meminta semua hadirin berdiri kerana beliau ingin mengetuai bacaan ikrar.

“Sebelum saya memulakan ucapan, saya minta semua berdiri kita baca ikrar,” katanya.

Bacaan ikrar berkenaan disampaikan dalam bahasa Arab.

Selepas ikrar dibacakan dan laungan takbir bergema sebanyak tiga kali, Mohd Rejab kemudian terus melaungkan “Jahanam PAN”.

PAN merujuk kepada Parti Amanah Negara (AMANAH), parti serpihan PAS yang sering menjadi seteru parti induk itu.

Selepas itu, beliau kemudian menyambung kembali acara berkenaan dengan memberikan ucapan alu-aluan.

Keretakan dalam PAS berlaku selepas pilihan raya umum (PRU) ke-13 lalu, apabila parti itu akhirnya meninggalkan rakan gabungan mereka dalam Pakatan Rakyat yang dianggotai PKR dan DAP.

Kemuncaknya adalah pada Muktamar PAS di Kuala Selangor pada 2015 yang menyaksikan sebahagian daripada pimpinan parti itu yang cenderung mempertahankan Pakatan Rakyat disingkirkan oleh perwakilan.
Mereka – diketuai bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu – menubuhkan AMANAH.

PAS yang memperolehi 21 kerusi pada pilihan raya 2013 kini mempunyai hanya 14 setelah beberapa wakil rakyatnya meninggalkan parti itu dan menyertai AMANAH.

– M’kini

.