JAGA-JAGA PULAU PINANG, GUAN ENG…

Naib Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari mengingatkan Setiusaha Agung DAP, Lim Guan Eng agar lebih memikirkan nasib DAP yang berisiko kehilangan Pulau Pinang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Sedarkah Lim Guan Eng bahawa DAP juga mempunyai risiko kehilangan kerusi apabila kalah di kerusi yang ditandingi jika berlaku pertembungan tiga penjuru?

“Di kerusi DAP akan berlawan dengan MCA atau Gerakan sebagai contoh, pengundi Melayu Islam hampir pasti secara solid akan memilih PAS sebagai alternatif mereka,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata demikian sebagai membalas kenyataan Lim yang mendakwa PAS berisiko kehilangan Kelantan kerana enggan menyertai Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Lim Guan Eng mungkin mengalami sindrom kehilangan ingatan hingga mendakwa PAS mengalami risiko kehilangan Kelantan dalam PRU akan datang jika enggan menyertai pakatan pembangkang.

“Padahal pihak yang mula-mula memutuskan hubungan sesama parti di dalam Pakatan Rakyat ialah DAP. Sudah lupakah Guan Eng bahawa DAP yang mula-mula mengisytiharkan putus dengan presiden PAS pada tahun 2015?

“Bagaimana pula hari ini PAS diminta berpakat sedangkan dahulunya Pakatan Rakyat berkubur kerana DAP tidak boleh menerima prinsip PAS?” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

PAS sebelum ini menegaskan beberapa kali untuk tidak akan menjalinkan kerjasama dengan HARAPAN meski beberapa pemimpin PKR dilihat masih cuba melakukan rundingan.

Sehubungan itu, Lim dalam kenyataannya mengingatkan parti-parti gabungan HARAPAN agar berhenti berharap kerjasama PAS dan bersedia untuk pertembungan tiga penjuru.

Tiga penjuru untungkan BN

Menurut Ahmad Fadhli, pertembungan tiga penjuru di Kelantan akan menguntungkan Umno dan jika ia terjadi HARAPAN yang bertanggungjawab memberikan kemenangan itu kepada Umno-BN.

“Lim Guan Eng hanya mendakwa PAS bakal kalah, tetapi tidak pula menyebut Pakatan Harapan bakal menang.

“Tentu beliau sedar bahawa pihak yang untung nanti apabila berlaku pertembungan tiga penjuru di Kelantan ialah Umno. Ia sekali gus menunjukkan dengan jelas siapakah yang memberikan nyawa tambahan kepada Umno-BN,” katanya.

Ketua Pemuda PAS Kelantan itu turut menyindir Lim dengan berkata bahawa satu-satunya kekurangan di Kelantan ialah, Menteri Besar dan exconya tidak mempunyai pengalaman ditahan oleh SPRM.

“Tidak seperti Pulau Pinang di mana Ketua Menteri dan salah seorang exconya telah mempunyai ‘pengalaman berharga’ ditahan dan didakwa oleh SPRM di mahkamah.

“Itulah satu-satunya ‘kelebihan’ DAP berbanding PAS di Kelantan,” katanya.
Lim sebelum ini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan membeli rumah banglo di bawah harga pasaran dan akan berdepan perbicaraan di mahkamah sementara Exco Pulau Pinang Phee Boon Poh turut disiasat agensi sama atas dakwaan terlibat dengan kilang tanpa lesen di Seberang Prai.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Nasrudin Hassan al-Tantawi berkata Lim bersikap angkuh dengan kenyataannya itu.

“Saya bimbang Pulau Pinang terlepas dari DAP, itu gaya bahasa Mr Arrogant yang bercakap,” katanya.

– M’kini

.