JABATAN METEOROLOGI NAFI LAMBAT KELUAR AMARAN

Jabatan Meteorologi menafikan lambat mengeluarkan amaran berhubung hujan lebat dan ribut di Pulau Pinang.

Jabatan itu berkata, pada 1 November lalu, pihaknya telah memberi amaran cuaca buruk kepada badan kerajaan negeri yang berkaitan dan orang awam menerusi pelbagai saluran.

Terdahulu, Persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Pulau Pinang menyelar jabatan itu kerana mendakwa mengeluarkan amaran menerusi laman webnya pada jam 9.30 pagi 4 November lalu, beberapa jam sebelum banjir berlaku.

Menurut laman Free Malaysia Today, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Alui Bahari berkata notis kuning dikeluarkan tiga hari sebelum banjir, dan diikuti notis jingga dan merah.

Notis kuning bermaksud keadaan cuaca yang tidak memberikan ancaman segera, sementara notis jingga bermakna penduduk di kawasan yang terlibat perlu bersedia untuk menghadapi cuaca buruk.

Notis Merah pula menandakan keadaan cuaca yang sangat buruk dan penduduk perlu keluar dari zon bahaya.

“Amaran diberikan kepada semua agensi terbabit dalam pengurusan bencana melalui faks dan e-mel. Kami turut menghantar SMS kepada pegawai berkaitan yang bertanggungjawab dalam pengurusan bencana.

“Kami juga menghantar satu mesej kepada setiausaha negeri Pulau Pinang dan pengarah Jabatan Meteorologi negeri.

“Kami juga memuatnaik amaran itu di laman web, Facebook dan Twitter kami. Saluran televisyen diberitahu untuk memberi amaran kepada penonton,” katanya seperti dipetik.

Semakan Malaysiakini mendapati amaran tersebut memang dinyatakan melalui laman Facebook jabatan itu pada 1 November lalu, namun tidak menemuinya di Twitter.

Pulau Pinang kini ditimpa hujan lebat dan setakat ini, sekurang-kurangnya 7 nyawa telah terkorban dan 3,779 penduduk dipindahkan.

Angin kencang melanda bahagian pulau dan Seberang Perai menyebabkan pokok tercabut, jalan raya dan bangunan rosak dan kesesakan trafik yang teruk.

Jadual perjalanan kapal terbang dan bas terganggu, dan sebahagian kawasan di Jelutong putus bekalan elektrik.

Jalan raya dan unit perumahan di beberapa projek, termasuk projek perumahan Bolton Surin di Tanjung Bungah, rosak dan runtuh akibat angin kencang.

Selain Pulau Pinang, beberapa kawasan di Kedah dan Perak juga terjejas.

– M’kini

.