ITU TAWARAN PERIBADI AZMIN: NIK NAZMI

SHAH ALAM – Tawaran Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali agar calon perdana menteri Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad bertanding di parlimen Gombak dilihat satu idea awal atas kapasiti individu.

Ketua Pemuda Harapan, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, idea berkenaan tidak mustahil akan dibincangkan lebih lanjut di peringkat pimpinan Harapan termasuk Majlis Presiden Pakatan Harapan.

“Itu mungkin tawaran beliau (Mohamed Azmin) atas kapasiti individu atau mungkin itu antara idea awal untuk kepentingan Harapan, namun setakat ini pembahagian kerusi kekal seperti mana diumumkan pada Konvensyen Pakatan Harapan 2018.

“Bagi saya ini idea daripada Mohamed Azmin memandangkan Tun Mahathir tentunya memerlukan kerusi sebab dicalonkan untuk jadi perdana menteri.

“Di pihak Tun Mahathir sendiri pun sudah ada beberapa kerusi yang mungkin akan ditandingi seperti di Kedah dan Lembah Klang, jadi itu (parlimen Gombak) mungkin akan diberi pertimbangan oleh kepimpinan atasan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perkara itu masih merupakan idea awal dan belum ada perbincangan di peringkat kepimpinan secara rasmi, namun tidak menolak perkara itu sebagai antara strategi memenangkan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)

“Kalau ikut pembahagian asal pun, kerusi parlimen Gombak diberikan kepada PKR, maknanya dalam perkara ini mungkin kita akan bincang di peringkat parti PKR dan juga Bersatu.

“Jika perkara ini dilihat relevan, saya rasa Majlis Presiden Pakatan Harapan juga akan berbincang lebih lanjut berhubung perkara ini nanti,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my

.