ITALI SIASAT ‘DAGANGAN DALAMAN’ BERKAITAN 1MDB

Seorang bekas pegawai International Petroleum Investment Company (IPIC) sedang disiasat oleh pihak berkuasa Itali berhubung dakwaan terbabit dalam dagangan dalaman atau ‘insider trading’ yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, lapor Financial Times (FT).

Memetik seseorang yang telah diberi taklimat mengenai siasatan berkenaan, akhbar harian kewangan global itu melaporkan pihak pendakwa di Milan menyiasat mantan Pengarah Urusan IPIC Khadem al-Qubaisi beberapa bulan lalu.

Pejabat pendakwa raya Itali mengesahkan siasatan itu dan berkata ia “kini berusaha mengumpulkan elemen akhir” untuk siasatan.

Itali adalah yang terbaru daripada rentetan beberapa negara yang menyiasat salah laku yang dikaitkan dengan 1MDB, firma pelaburan negara Malaysia.

Antara negara-negara yang sedang menyiasat skandal itu adalah Amerika Syarikat, UK, Switzerland, Luxembourg, UAE, Hong Kong, Singapura dan Australia.

Pihak berkuasa Itali sedang menyiasat sama ada al-Qubaisi menggunakan maklumat sulit secara haram pada tahun 2010 untuk membenarkan perdagangan oleh Falcon Private Bank dalam saham UniCredit apabila Aabar anak syarikat IPIC merancang membeli kepentingan lima peratus dalam bank terbesar Itali dari segi aset.

Beliau dilaporkan membuat € 21 juta (kira-kira RM100.33 juta) daripada urus niaga berkenaan.

“Arahan untuk membeli saham (UniCredit) dan menjualnya datang dari bank itu, ketika berita itu masih adalah rahsia dan belum didedahkan kepada pasaran,” kata sumber itu.

Dakwaan perdagangan orang dalaman itu dikesan sebagai sebahagian daripada siasatan global ke dalam skandal 1MDB.

– M’kini