ISYARAT BERCELARU: AKAR UMBI PKR DESAK ADAKAN KONGRES KHAS

Sekumpulan pemimpin akar umbi PKR hari ini mendesak kepimpinan parti itu supaya mengadakan kongres khas untuk memuktamadkan hubungan kerjasama dengan PAS, memadangkan ketegangan semakin memuncak.

Menamakan diri mereka sebagai Jawatankuasa Bertindak Harapan Pakatan, kumpulan itu mendakwa isyarat bercelaru dari pemimpin tertinggi berhubung rundingan dengan PAS telah mereggangkan kerjasama di antara cabang-cabang PKR dengan rakan-rakan dari Pakatan Harapan.

“Paling teruk, kami bimbang sikap sebegitu akan menjemukan pengundi atas pagar dan rakyat keseluruhannya kerana PKR seolah-olah tidak komited dengan HARAPAN,” kata pengerusi jawatankuasa itu, Yusuf Tapar pada sidang akhbar di Kuala Lumpur hari ini.

Yusuf yang juga adalah ketua cabang PKR Rembau, berkata kongres khas seharusnya diadakan untuk membincangkan perkara itu supaya pandangan dan pendapat akar umbi parti turut diambil-kira.

Katanya, terdapat peruntukan di dalam perlembagaan parti yang membolehkan cabang menuntut kongres diadakan, sekiranya mereka mendapat sokongan satu pertiga.

Yusuf berkata, setakat ini jawatankuasa bertindak itu telah mendapat sokongan sekurang-kurangnya 56 cabang, dan mereka memerlukan sokongan 73 cabang sebagai memenuhi kuota minimum.

“Kami akan menghubungi semua cabang-cabang PKR yang lain untuk menyelesaikan perkara ini dengan secepat mungkin, agar keputusan kerjasama dengan PAS ini dapat diputuskan sebaik-baiknya dalam tempoh sebulan ini,” katanya.

– M’kini

.