ISU UNISEL: SPRM DAPAT DOKUMEN LAGI

Aktivis Badrul Hisham Shaharin hari ini menyerahkan beberapa dokumen bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap isu bayaran kontrak Universiti Selangor (Unisel).

Beliau yang lebih dikenali sebagai Chegubard berkata ia merangkumi perjanjian Unisel dan kontraktor Jana Niaga Sdn Bhd, surat menyurat antara kedua-dua pihak, invois bayaran dan dokumen perundangan.

Bekas pemimpin PKR yang dipecat itu berkata beliau memperoleh dokumen-dokumen itu sejak bulan lalu daripada sumber yang enggan didedahkannya.

Dalam sidang media di SPRM Selangor itu, beliau bagaimanapun tidak mengedarkan atau mendedahkan kandungannya kepada media.

SPRM hari ini dilapor menyerbu Unisel, pejabat Menteri Besar (Pemerbadanan) (MBI) dan Jana Niaga.

Tindakan itu dipercayai susulan laporan ke atas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali dan MBI berhubung pertikaian antara Unisel dan Jana Niaga.
Jana Niaga dituduh menerima bayaran walaupun gagal memenuhi kontraknya bersama Unisel.

Bagaimanapun MBI mendakwa bayaran berkenaan dibuat kepada Jana Niaga mengikut keputusan timbang tara mahkamah.

Badrul antara aktivis yang lantang mempersoalkan pelbagai isu melibatkan pentadbiran negeri Selangor bawah pentadbiran Azmin.

– M’kini

.