ISU TANAH FELDA UNTUK ALIH PERHATIAN SKANDAL 1MDB, KATA BEKAS PEGAWAI KHAS ISA

ISU tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur digunakan untuk melalaikan rakyat daripada skandal besar 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata bekas Pegawai Khas Isa Samad, Zahid Mat Arip.

Zahid berkata, beliau yakin bekas bosnya di Felda, Isa akan dijadikan “kambing hitam” oleh Umno menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Isa Samad saya pasti seratus peratus akan didakwa sebelum PRU14 bagi melalaikan rakyat atas isu sebenar 1MDB, SRC di mana sejumlah besar duit masuk dalam akaun Perdana Menteri Najib Razak, dan isu samunan RM 2.6 billion dalam akaun Najib,” katanya yang kini merupakan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu itu kepada The Malaysian Insight.

“Tangkapan Isa amat penting bagi Umno, Najib dan Barisan Nasional (BN) kerana ini juga dapat melalaikan rakyat dari mengingati dan mengkaji isu Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felcra, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Jabatan Air Sabah, exco Johor, Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan lain-lain lagi.”

Zahid merupakan pegawai khas kepada Isa di Felda sejak 2011 hingga 2015.

Empat bulan lalu, beliau turut ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh Felda Investment Cooperation (FIC) di Kuching, Sarawak.

Tangkapan Isa amat penting bagi Umno, Najib dan BN kerana ini juga dapat melalaikan rakyat dari mengingati dan mengkaji isu Mara, Felcra, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Air Sabah, exco Johor, GST, PTPTN dan lain-lain lagi, kata bekas Pegawai Khas Isa Samad, Zahid Mat Arip.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2017.
Tangkapan Isa amat penting bagi Umno, Najib dan BN kerana ini juga dapat melalaikan rakyat dari mengingati dan mengkaji isu Mara, Felcra, Kementerian Belia dan Sukan, Jabatan Air Sabah, exco Johor, GST, PTPTN dan lain-lain lagi, kata bekas Pegawai Khas Isa Samad, Zahid Mat Arip. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2017.

Pada 2016, akhbar Wall Street Journal (WSJ) mendedahkan deposit ke dalam akaun bank peribadi Najib berjumlah lebih daripada AS$1 bilion daripada 1MDB.

Ini termasuk desposit AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang menurut Najib dan pihak berkuasa Malaysia sebagai sumbangan politik.

SPRM bagaimanapun mengatakan hasil siasatan mendapati sumbangan itu adalah daripada penderma dan bukannya 1MDB.

Media hari ini melaporkan yang Isa masih belum dipanggil polis untuk memberi keterangan berhubung skandal pemindahan milik tanah Felda di Jalan Semarak bernilai RM270 juta itu.

Zahid berkata, ketika Felda hilang tanah di Jalan Semarak, 45 keping tanah kerajaan di Wilayah Persekutuan juga hilang.

“Pangkalan TUDM Sg Besi hilang, tanah Tun Razak Exchange (TRX) juga hilang dan banyak lagi tanah telah dan bakal hilang.

“Ini semua berlaku kerana hobi kerajaan Umno dan BN menjual dan menggadai tanah,” katanya.

Zahid juga menggesa polis agar tidak menubuhkan pasukan petugas khaskerana ia tidak pernah berjaya.

Skandal tanah terbaru Felda ini adalah yang terbaru dalam siri skandal yang melanda Felda tahun ini sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak berkaitan salah guna kuasa dan tadbir agensi pembangunan tanah negara itu.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2017.
Skandal tanah terbaru Felda ini adalah yang terbaru dalam siri skandal yang melanda Felda tahun ini sehingga mencetuskan kemarahan banyak pihak berkaitan salah guna kuasa dan tadbir agensi pembangunan tanah negara itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 Disember, 2017.

Minggu lalu, Pengerusi Felda Shahrir Abdul Samad berkata, bersedia mengambil segala bentuk tindakan bagi mendapatkan semula hak ke atas tanah mereka di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Najib yang juga presiden Umno mahu pihak berkuasa menjalankan siasatan terperinci berhubung isu pemilikan tanah melibatkan Felda di Jalan Semarak di ibu negara.

Dalam catatan bersiri di laman Twitter minggu lalu, Najib berkata tindakan akan diambil terhadap sebarang kecuaian atau salah laku berasaskan laporan siasatan.

Ahli Majlis Tertinggi Umno Ismail Sabri Yaakob turut menggesa siasatan menyeluruh sehingga ke akar umbi perlu dilakukan terhadap semua pihak berkaitan dalam transaksi pindah milik tanah Felda di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Beliau berkata siasatan itu bukan hanya melibatkan Felda dan Felda FIC tetapi juga perlu meliputi syarikat pemaju tanah yang dilantik.

Sementara itu, Pemuda Umno pula memberi kepercayaan penuh kepada polis untuk melaksanakan siasatan berhubung kes itu.

Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata, perkara itu harus disiasat dengan segera supaya mereka yang bersalah boleh dihadapkan ke muka pengadilan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.