ISU STATUS ARMADA: ROS BERI PENJELASAN

PUTRAJAYA – Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) mendakwa bahawa ‘Armada’ tidak terkandung dalam perlembagaan Bersatu.

Pendaftar Pertubuhan ROS, Surayati Ibrahim berkata pihaknya masih belum meluluskan pindaan perlembagaan Bersatu yang ingin menggunakan istilah Armada bagi pemudanya.

“Tindakan menggunakan istilah yang tiada dalam perlembagaan adalah melanggar perlembagaan parti sendiri dan Akta Pertubuhan 1966.

“Kesalahan ini dilihat berat dan boleh menyebabkan sesebuah pertubuhan dibatalkan, siasatan masih diteruskan bagi meneliti isu ini,”katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Terdahulu, dua bekas Exco Angkatan Bersatu Anak Muda Armada Bersatu bersama seorang ahlinya lagi, membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan berhubung penubuhan sayapnya yang tidak sah mengikut perlembagaan parti.

Ahli Bersatu, Mohamad Taufik Abas berkata, mengikut aduan itu, beliau telah meminta pihak pendaftar pertubuhan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap perkara itu yang boleh dianggap serius kerana melibatkan sebuah parti politik.

Menurutnya, selain isu tersebut, kepimpinan Bersatu juga dengan sengaja menangguhkan Mesyuarat Agung parti yang menurut perlembagaan parti sendiri ia mestilah dilakukan dalam masa setahun selepas parti ditubuhkan.

– http://www.sinarharian.com.my

.