ISU SELUAR SUKAN TAK PERNAH JADI ISU PADA ZAMAN NIK AZIZ, KATA JURULATIH BOLA KELANTAN

PAKAIAN sukan tidak pernah jadi isu semasa era Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat jadi menteri besar Kelantan, kata ketua jurulatih pasukan bola sepak Kelantan, Zahasmi Ismail.

Katanya, selama ini tidak pernah ada sebarang arahan kepada pemainnya untuk menutup aurat walaupun kebanyakan mereka sukarela memilih mengenakan seluar ketat di dalam.

Jelas beliau, pihaknya kini menunggu arahan daripada pihak atasan berhubung isu tersebut.

“Macam mana pun kita tunggulah arahan daripada presiden. Cuma iyalah perkara ini tidak berlaku dulu pada zaman Tok Guru.

“Dulu tok guru tak nak menguatkuasakan peraturan cuma dia ada juga bersuara kalau boleh katanya, tapi tidaklah sampai mengatakan mesti pakai (begitu).”

Nik Aziz meninggal dunia pada Februari 2015 selepas 23 tahun jadi menteri besar.

Tokoh politik itu merupakan seorang yang sangat dihormati oleh kawan dan lawan serta rakyat Malaysia kerana sifatnya yang merendah diri serta dianggap sebagai antara suara sederhana dalam parti Islam itu.

Isu pakaian sukan patuh syariah di Kelantan yang kini jadi perhatian selepas seorang lelaki berdepan denda RM1,000 oleh pihak berkuasa agama Islam di negeri itu kerana berseluar pendek ketika hendak pergi bermain futsal.

Wan Khairul Hayye Wali diberikan notis itu pada jam 10.45 malam semalam dan diarahkan menghadiri sesi kaunseling bulan depan. Sekiranya gagal berbuat demikian, dia akan dihadap ke mahkamah Syariah dan boleh didenda RM1,000 sekiranya didapati bersalah.

Sementara itu, Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) yang baru dipilih, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pihaknya sedia berbincang dengan kerajaan negeri PAS berhubung isu pakaian sukan patuh syariah ke atas pemain mereka.

Namun Bibi masih belum dapat mengesahkan bila perbincangan tersebut mahu diadakan kerana buat masa ini beliau mahu memberi tumpuan penuh pada prestasi pemain skuad Kelantan untuk menghabiskan perlawanan pada musim ini yang hanya berbaki tiga bulan saja.

“Isu ini kita akan bincangkan kemudian sebab fokus kita sekarang adalah pemain, untuk beri prestasi terbaik mereka dalam perlawanan.

“Apabila kita sudah ada pengesahan (perbincangan) dengan kerajaan negeri baru kita akan buat sidang media umumkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Bibi juga mengakui tiada arahan daripada kerajaan negeri sebelum ini untuk pemainnya mengenakan pakaian yang menutup aurat.

Pegawai Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan yang dipetik oleh The Star berkata kod pakaian itu hanya terpakai pada orang Islam sahaja.

– https://www.themalaysianinsight.com

.