ISU RUU 355: KENAPA UMAT ISLAM DIANGGAP SALAH?

SHAH ALAM – Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 1965 atau RUU 355, terus menjadi sasaran untuk ditolak oleh sebahagian manusia di Malaysia sekarang, walaupun tujuannya khusus bagi penganut Islam sahaja.

Musykil dengan perkara itu, Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang menempelak mereka yang terus menerus ‘berperangai’ seperti itu.

“Sangat malang terhadap kalangan yang tidak senang dengan pertemuan dua parti Umno, Pas dan NGO Islam kerana perbincangan perkara RUU 355, tetapi merasa senang kalau pertemuan DAP, MCA, Gerakan dan sebagainya?.

“Umat Islam sentiasa dianggap salah bila adanya sebarang usaha untuk melaksanakan Islam walaupun atas kepentingan bersama demi menyelamatkan semua,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Menegaskan perkara itu, Abdul Hadi berkata RUU 355 juga menepati kedudukan Islam sebagai agama negara dalam Perlembagaan Malaysia dan konsep kebebasan beragama.

Terdahulu pada 24 November lepas, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang membawa usul RUU 355 di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, bagi membangkitkan sentimen supaya rakyat menyokong RUU 355 ini, Pas akan mengadakan satu himpunan pada 18 Februari ini.

– Sinar Harian

.