‘ISU ROBOH KUIL DI JOHOR SELESAI’

Isu perobohan sebuah kuil Hindu di atas tanah milik persendirian di Bandar Seri Alam, Masai, Johor Bahru, pada 11 Jan lalu, dianggap selesai setelah pihak pengurusan kuil bersetuju berpindah ke tapak baru yang disediakan oleh kerajaan negeri.

Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pihaknya bersama pengurusan kuil itu telah mencapai kata sepakat mengenai perkara itu selepas melawat tapak seluas 0.404 hektar yang diberikan oleh kerajaan negeri Johor di kawasan Seri Alam hari ini.

“Kita harap masyarakat India tidak terlalu emosi dalam berdepan dengan isu tersebut dan pada umumnya menerima penyelesaian ini dengan sebaiknya,“ katanya pada Majlis Transformasi Rumah Ibadat di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Masai, hari ini.

Justeru, katanya, MIC ingin mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar atas kesudian menyediakan sebidang tanah yang bernilai tinggi kepada pengurusan kuil terbabit.

Kuil berusia 80 tahun itu sebelum ini mencetuskan kontroversi gara-gara dirobohkan selepas pemilik sah tanah itu mendapat perintah mahkamah setelah semua rundingan dengan pengurusan kuil itu menemui kegagalan.

Dalam isu berkaitan, Dr Subramaniam, yang juga Menteri Kesihatan, berkata pihaknya juga bakal mengadakan sesi dialog bersama persatuan-persatuan India dalam masa terdekat bagi membincangkan isu seperti ini agar ia tidak berulang pada masa akan datang.

Mengenai isu lain, beliau berkata sebanyak enam kuil akan dijadikan perintis kepada program transformasi tempat ibadat di seluruh negara.

Katanya, program bertujuan memastikan kuil-kuil dalam negara dapat menjalankan aktiviti kemasyarakatan supaya menjadi agen perubahan masyarakat selain program berbentuk keagamaan.

“Beliau berkata program tersebut akan diperluaskan ke semua kuil di seluruh negara jika projek perintis itu berjaya membawa perubahan kepada sosioekonomi masyarakat India.

Bernama

.