ISU RM90 JUTA: PAS BUKA PINTU ’25 JAM SEHARI’

SHAH ALAM – Pas sedia membuka pintu 25 jam sehari kepada sebarang siasatan terhadap dakwaan parti itu menerima RM 90 juta daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata,  Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Paul Low telah menyatakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah meneliti tuduhan ini dan jawatankuasa penilaian mendapati maklumat diterima tidak jelas dan tiada unsur-unsur membolehkan siasatan dibuat.

“Pas bersetuju dengan SPRM yang mengalu-alukan sekiranya mana-mana orang yang mempunyai maklumat berkaitan dengan isu yang dibangkitkan ini hendaklah melaporkannya kepada SPRM.
“Pihak Bank Negara juga boleh menyiasat atas transaksi wang yang didakwa masuk ke dalam akaun Pas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mendakwa, tuduhan tersebut adalah satu fitnah kepada Pas terutama untuk menjauhkan orang Cina daripada parti itu.

“Ini kerana orang Cina yang berniaga tidak boleh terima, apabila Pas menerima wang daripada Najib di dalam keadaan perniagaan bertambah suram,” katanya.

Dalam pada itu, Idris berkata, saman Pas terhadap Sarawak Report dan Datuk Husam Musa sedang diteliti oleh pasukan peguam parti.

“Mereka yang bermusuh dengan Pas perli, kenapa lambat sangat. Saya jawab proses saman memang lambat, yang cepatnya bawa lari kerusi,” katanya.

– SH

.