ISU PM SEMENTARA TAK TIMBUL KALAU…

Apa sudah jadi dengan siasatan ke atas dakwaan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah – yang mengendalikan pendakwaan kes tuduhan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim – menerima duit sebanyak RM9.5 juta daripada Datuk Seri Najib Razak?

Khabarnya banyak laporan polis dibuat di seluruh Malaysia.

Kanun Acara Jenayah menyatakan seseorang ketua polis daerah tempat laporan dibuat wajib memberitahu perkembangan laporan tersebut.

Siasatan ini penting kerana sekiranya terbukti, ia boleh terjumlah kepada kes salah laku pendakwaan (prosecutorial misconduct) terhadap Anwar.

Salah laku pendakwaan merupakan antara alasan untuk sesuatu sabitan kes jenayah menjadi sabitan salah atau wrongful conviction.

Seseorang pendakwa raya perlu adil dan bebas dalam melakukan pendakwaan. Sekiranya tidak – menjadi bias, misalnya – ia memberi kesan kepada keterangan dan bukti-bukti yang dipersembahkan kepada mahkamah.

Dalam kes Anwar terdapat banyak isu meragukan yang boleh menyebabkan sabitan kes terhadap beliau tidak selamat (unsave conviction), iaitu

  1. Integriti bukti forensik, iaitu cara dan pendekatan sampel-sampel diambil dan dinilai yang sekiranya cacat boleh disifatkan sebagai salah laku makmal kimia atau crime lab misconduct.
  2. Salah laku pendakwaan yang boleh dilihat pada penganjuran road show menerangkan kes terhadap Anwar serta bukti baru dakwaan pembayaran RM9.5 juta oleh perdana menteri kepada Shafee yang tidak diketahui hasil siasatannya.

Memandangkan terdapat banyak isu yang melatari sabitan Anwar, rakyat – terutama pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN) – perlu menggesa perkara-perkara di atas disiasat segera.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) yang bertanggungjawab menasihati kerajaan mengenai hal ehwal hak asasi manusia (mengikut Seksyen 4 Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia) perlu tegas mengatakan bahawa perbicaraan yang adil tidak berlaku dalam kes Anwar.

Kepada yang membuat laporan-laporan polis tersebut bolehlah hubungi ketua polis daerah yang berkenaan untuk mengetahui perkembangan siasatan terhadap aduan mereka.

Isu perdana menteri sementara tidak timbul sekiranya pimpinan HARAPAN dan rakyat masih berpendirian bahawa sabitan terhadap Anwar adalah sabitan salah dan terus memperjuangkan pembebasannya.

Seingat saya, rakyat atau pengundi tidak pernah menuntut soal perdana menteri sementara ini berdasarkan pilihan raya yang lalu.

Apa yang mereka suarakan ialah pimpinan yang mahu diangkat mestilah seorang yang berintegriti.

Rakyat dan pengundi faham – dan sentiasa faham – perkara tersebut. Itulah pendirian rakyat semenjak awal perjuangan reformasi bermula!

YUSMADI YUSOFF ialah penyelaras Free Anwar Now.

– M’kini

.