ISU PM PAKATAN HARAPAN SELESAI ESOK, KATA DR MAHATHIR

PAKATAN Harapan akan menyelesaikan isu calon perdana menterinya selepas mesyuarat Majlis Presiden gabungan pembangkang itu esok, kata pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

“Kita belum buat keputusan (lagi) tetapi esok 4 haribulan dan kita ada mesyuarat majlis presiden. Esok kita akan tahu (siapa akan jadi perdana menteri),” katanya, menjawab soalan apakah PH sudah menyelesaikan isu calon perdana menteri.

“Saya berpegang pada keputusan semua empat parti (dalam PH). Saya tidak tahu apakah akan ada masalah dengan PKR, mereka tidak beritahu saya,” tambahnya.

Dr Mahathir berkata demikian apabila ditanya mengenai tiga syarat yang dikatakan ditetapkan PKR sebelum bersetuju kepada cadangan menamakan dirinya sebagai calon perdana menteri PH.

Bekas perdana menteri itu berkata tidak timbul soal sama ada beliau akan berkuasa untuk 22 tahun lagi kerana tahun hadapan umurnya sudah 93 tahun.

“Saya sudah 92 tahun. Tahun ini 93, tentulah saya tidak akan jadi perdana menteri atau perdana menteri apa pun sampai saya umur 100 tahun,” kata Dr Mahathir.

PH dilihat berdepan kesulitan untuk mengesahkan calon perdana menterinya selepas ia dicadangkan dalam pemukiman gabungan pembangkang itu di Putrajaya pada awal bulan ini.

Dalam wawancara bersama The Malaysian Insight bulan lalu, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata setiap parti dalam gabungan pembangkang itu ada pertimbangan masing-masing dan ada kaedah membuat keputusan yang harus dihormati oleh parti-parti lain,

“Tak mengapalah. Memberikan sedikit ruang dan masa (kepada PKR), bagi saya, berpatutan tetapi seharusnya jangan dilambat-lambatkan.”

Katanya, beliau yakin tanda tanya siapa calon perdana menteri PH akan terjawab sebelum PRU14.

– https://www.themalaysianinsight.com

.