ISU MRT: APA PENDIRIAN WAN AZIZAH?

SHAH ALAM – Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencabar Ketua Pembangkang Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyatakan pendiriannya berhubung projek Transit Aliran Massa (MRT).

Ismail dalam satu kenyataan hari ini  mempersoalkan, adakah Wan Azizah bersetuju dengan tuntutan Rafizi Ramli bahawa MRT adalah projek yang tidak menguntungkan.

Menurutnya, sejak beberapa minggu lalu Ahli Parlimen Pandan, Rafizi telah mengelirukan rakyat melalui maklumat dan angka palsu, berkaitan MRT .

“Sebagai Ketua Pembangkang, Presiden PKR dan perdana menteri sementara yang dilantik Lim Kit Siang, Wan Azizah mesti bertanggungjawab dan berkongsi pandangan sendiri pada komen Rafizi,” katanya.

Ismail  berkata, jika Wan Azizah tidak berbuat demikian dalam tempoh tiga hari, maka perdana menteri sementara yang akan dilantik pembangkang hanyalah penyamaran untuk niat sebenar mereka yang benar-benar menjadi pembangkang.

Tambahnya, tindakan pembangkang berterusan mempertikaikan MRT, yang memberi manfaat kepada beratus-ratus ribu orang setiap hari di seluruh negara tidak wajar.

“Projek MRT menunjukkan keupayaan BN untuk memperbaiki kehidupan rakyat dan membangunkan negara, masalah di Selangor menunjukkan kegagalan Pakatan Harapan,” katanya.

Menurutnya, Wan Azizah perlu mengarahkan Rafizi untuk membantu Azmin menyelesaikan isu air di Selangor demi rakyat.

“Sebaliknya, beliau (Wan Azizah) nampaknya lebih cenderung  ‘menghantar’ Rafizi untuk memprovokasi rakyat supaya membenci projek-projek seperti MRT yang sebenarnya memperbaiki kehidupan rakyat dan pencapaian penting bagi rakyat dan negara,” katanya.

– Sinar Harian

.