ISU MEMALI: POLIS TERBUNUH DAHULU, KATA MAHATHIR

Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad mendakwa dalam tragedi Memali, polis diserang terlebih dahulu.

Mahathir memetik ucapan pemangku perdana menteri, Tun Musa Hitam sehari selepas tragedi itu yang mendakwa polis diserang hendap dan menyebabkan kematian seorang sarjan dan seorang inspektor, selain seorang konstabel cedera parah.

“Yang jelas ialah polis yang terbunuh dahulu, kerana pengikut Ibrahim berjihad kononnya,” tambahnya.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu mengalu-alukan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat peristiwa yang mengorbankan 18 nyawa hampir 32 tahun lalu.

Menurut Mahathir, beliau mempunyai bukti, laporan dan cerita berkaitan peristiwa itu yang membolehkan RCI membuat keputusan tanpa perlu bersidang.

“Ini termasuk individu-individu yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya dalam satu tulisan di blognya.

Dalam tulisan yang sama, Mahathir yang merupakan perdana menteri ketika peristiwa berdarah itu menyiarkan semula amanat Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menurutnya berkait rapat dengan Memali.

“Amanat ini menggalakkan perjuangan lawan kerajaan sebagai jihad dan kematian pejuang adalah syahid,” katanya.

Amanat Haji Hadi merupakan petikan ceramah umum Abdul Hadi di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 yang tersebar luas dalam bentuk poster di kalangan penyokong PAS.

Antara petikan ucapan itu ialah:

“Saudara-saudara sekelian percayalah,
Kita menentang Umno, bukan kerana nama dia Umno. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.
Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengamalkan ‘politik suku, agama suku’.”

– M’kini

.