ISU MEMALI KENAPA TUAN IBRAHIM BERIYA CADANGKAN TUBUH RIC?

Kalau dilihat secara literal cadangan Tuan Ibrahim Tuan Man agar ditubuhkan siasatan di raja (RCI) untuk siasat tragedi Memali wajar untuk menghuraikan sesuatu yang kabur dan belum tuntas di kepala rakyat. RCI itu bagai mana pun tidak menjamin isu seperti Memali itu tidak akan timbul dan terus dijadikan modal politik golongan terdesak selagi ada politik ala Malaysia.

Tetapi dari sudut lain ia boleh diterjemahkan dan membawa berbagai erti lain di sebalik cadangan pemangku presiden Pas itu. Kita tahu RCI akan mendedahkan apa-apa yang tersembunyi dan menjadi misteri selama ini. Walaupun matlamat agar ditubuhkan RCI itu untuk mengenakan Dr Mahathir Mohamad yang dianggap terlibat dengan tragedi itu ia memberi beberapa implikasi politik kepada pihak lain juga.

Kalau RCI ditubuhkan siasatannya bukan sahaja di sekitar diri Dr Mahathir Mohamad yang menjadi PM ketika itu, tetapi ia juga bersabit dengan Musa Hitam yang menjadi Menteri Dalam Negeri dan juga Ketua Polis negara. Musa bertanggungjawab terhadap polis. Tragedi yang meragut 14 nyawa dan dua nyawa anggota polis itu membabitkan pasukan PDRM.

Sudah pasti RCI itu akan melumatkan hal kejadian itu. Persoalan mengenai Dr Mahathir berkaitan isu Memali ialah sama ada ketika kejadian itu beliau berada di Malaysia atau di China? Ini timbul apabila Musa Hitam dalam satu forum di Kota Bharu, menjelaskan Dr Mahathir berada dalam negara ketika itu. Jawaban dan pendedahan Musa itu sebagai menebus dosanya yang dibabitkan dengan peristiwa berdarah itu kesekian lama sehingga memberi kesan jiwa besar kepadanya.

Musa tidak menjelaskan apakah Dr Mahathir terlibat dengan targedi itu dengan mengarahkannya agar minta Polis bertindak? Bukankah polis tertakluk langsung dibawah arahan Menteri Dalam Negeri?

Sebenarnya pembabitan atau tanggungjawab Dr Mahathir mungkin separuh sahaja, manakala separuh lagi tertanggung atas Musa Hitam juga. Tidak mengapa, bila ditubuh siasatan di Raja (RCI) nanti kita akan tahu apa sebenarnya yang berlaku. Siasatan jujur tidak bermotifkan politik akan mendedahkan kebenaran yang haq.

Bila ditubuhkan RCI perkara lain yang juga akan turut sama disiasat dan digali ini termasuklah “Amanat Haji Hadi” yang dikatakan menjadi perangsang kepada berlakunya sikap keras dan agresif Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya dan pengikutnya itu. Semasa pembentangan Kertas Putih di parlimen Amanat Haji Hadi ada disebut sebagai salah satu penyebabanya. Amanat itu mempengaruhi Ibrahim Libya mempercaya tindakannya syahid. Bermakna presiden Pas itu juga tidak boleh melarikan diri dari ikut sama dipanggil dalam siasatan itu nanti.

Jadi apakah apabila Tuan Ibrahim beriya-iya mencadangkan RCI ditubuhkan bermakna beliau mahu sucikan Pas dengan kejadian itu yang mana secara tidak langsung membabitkn Hadi Hadi dan Ibrahim Libya. Ibrahim Libya adalah ahli Pas. Atau apakah Tuan Ibrahim ada agenda lain maka beliau melihat tragedi Memali lebih penting dari skandal 1MDB. Benar juga apabila Mohamad Sabu mempersoalkan sepatut desakan agar ditubuhkan RCI mengenai 1MDB bukan Memali.

Lantaran itu tindakan Tuan Ibrahim mengemukakan cadangan itu mungkin mempunyai motif politik. Mungkin beliau juga tidak berpuas hati dengan sikap membisu Abdul Hadi mengenai tragedi Memali itu. Mungkinkah begitu? Benar kata Husam Musa bahawa Abdul Hadi juga perlu bertanggungjawab terhadap tragedi itu kerana Amanatnya dikaitkan sama.

Kata Husam sehingga kini Abdul Hadi tidak menjelaskan sejauh mana Amanatnya itu mempengaruhi Ibrahim Libya dan pengikutnya. Sikap Abdul Hadi itu menyebabkan orang tidak akan percaya kepada apa-apa Amanatnya selepas ini.

Bagi saya isu Memali akan selesai tanpa ada RCI dan ia tidak perlu membuang banyak wang rakyat, kalau Dr Mahathir Mohamad dan Haji Hadi sedia tampil bersama untuk membuat penjelasan atau pengakuan bersama. Kerana kedua mereka dilihat mempunyai tanggungjawab dan akses langsung kepada tragedi malang yang sudah berlalu hampir 30 tahun lalu. Walahu’alam.

–¬†http://msomelayu.blogspot.my

.