ISU MEMALI: BUKAN MASA BINCANG SEJARAH

IPOH – Amanah beranggapan isu Memali yang dibangkitkan Pas bukanlah isu penting yang harus dibincangkan pada masakini.

Naib Presidennya, Datuk Husam Musa berkata, isu Memali sudah menjadi sejarah dan tumpun kini perlu terarah kepada perkara yang lebih besar dari itu.

Beliau berkata, usaha memenangi PRU14 harus diberikan perhatian sewajarnya kerana peluang untuk memenangi pilihan raya dan mengubah kerajaan tidak datang selalu.
“Islam mengajar kita melupakan apa yang telah menjadi sejarah. Kita kena bersedia untuk menghadapi apa yang berlaku sekarang. Jadi jika terus membincangkan sejarah sehingga kita terlepas kapal, ia menjadi salah satu perkara yang salah.

“Sejarah boleh dibincangkan selepas (PRU14) ini. Tetapi peluang untuk tukar kerajaan datang sekali. Sekarang adalah masa pilihan raya untuk menentukan masa depan negara bukan masa untuk bincang sejarah yang lalu. Sejarah lalu adalah subjektif,” katanya kepada pemberita ketika sidang media selepas merasmikan Konvensyen Kali Kedua Amanah Perak di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Husam berkata demikian ketika diminta mengulas isu Memali yang hangat diperkatakan sejak akhir-akhir ini dengan desakan agar siasatan semula dibuat mengenai peristiwa berdarah itu.

Katanya, insiden Memali itu merupakan peristiwa yang tidak dijangka berlaku dengan niat untuk membunuh sekaligus mengorbankan beberapa individu termasuk Ibrahim Libya.

“Saya berpendapat tidak ada pihak yang betul-betul ada motif untuk pergi menembak dan membunuh as-syahid Ibrahim Libya. Tun Dr Mahathir tidak beri arahan kepada Tun Musa (Hitam), Tun Musa pun tidak ada arahan kepada polis untuk menembak. Ia adalah satu insiden yang tidak ada niat untuk perlakuan itu berlaku.

“Jadi kalau kita letakkan beban ini kepada pihak tertentu kerana sebab politik semata-mata, ia adalah satu sikap yang salah,” katanya.

– Sinar Harian

.