ISU MARA: ANNUAR SUDAH DIPANGGIL

SIPITANG  – Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengesahkan telah memanggil bekas Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Audit Dalaman Mara berhubung beberapa isu agensi berkenaan.
Pengerusi sementara Mara, Datuk Dr. Yusof Yacob berkata, Annuar yang masih bercuti daripada jawatan itu bagaimanapun masih belum hadir untuk menjelaskan mengenai semua perkara yang timbul.

“Beliau sudah dipanggil tetapi belum (hadir) beri keterangan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Usahawam Muda Yayasan Pelajaran Mara di Sekolah Menengah Berampah di sini petang ini.
Yusof bagaimanapun tidak menjelaskan bila Annuar akan dipanggil atau jika ada tarikh yang ditetapkan, sebaliknya beliau menegaskan isu berkenaan akan selesai tidak lama lagi.

Pada Januari lalu, Annuar dinasihatkan bercuti sebagai Pengerusi Mara dan Pengerusi Pelaburan Mara Bhd. (PMB) bagi memberi laluan kepada proses siasatan termasuk dalam isu penajaan PMB serta Universiti Kuala Lumpur (Unikl) untuk pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors (TRW).

Keputusan sebulat suara itu dicapai dalam mesyuarat khas Mara yang diadakan susulan isu berkenaan.

– UTUSAN ONLINE