ISU MAIN GOLF: PENGURUSAN TERTINGGI KENA MULA DULU

SHAH ALAM – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik saranan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad agar penjawat awam berhenti bermain golf di luar negara.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, cadangan tersebut perlu dimulakan dengan peringkat tertinggi sektor perkhidmatan awam.

“Kenyataan SPRM tersebut adalah untuk peringatan bersama. Boleh main golf, tetapi jangan libatkan dengan pihak lain.

“Kita harap semua pihak ambil pandangan ini sebagai sesuatu yang positif demi maruah penjawat awam. Pengurusan tertinggi perlu tunjuk contoh yang baik dahulu, barulah di bawah akan ikut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Semalam, Dzulkifli dilaporkan berkata, tindakan penjawat awam yang pergi ke luar negara untuk bermain golf akan cenderung kepada gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Mengulas lanjut, Azih memuji usaha dilakukan SPRM bagi mencegah isu rasuah dan penyelewengan dalam kalangan penjawat awam.

“Tahun lalu, SPRM dah buktikan mereka laksanakan tugas dengan baik. Cuepacs amat memberi tumpuan soal integriti kerana penglibatan penjawat awam hanya akan memalukan sektor perkhidmatan ini,” katanya.

– http://www.sinarharian.com.my/

.