ISU KARIKATUR: KDN KELUAR SURAT TUNJUK SEBAB

SHAH ALAM – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memanggil ketua pengarang akhbar harian berbahas Cina berikutan penyiaran karikatur menghina Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia dan Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim dalam satu kenyataan berkata satu surat tunjuk sebab bertarikh hari ini telah dikeluarkan kepada akhbar harian berbahasa Cina itu mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.

Beliau berkata penerbit diberi tempoh tiga hari untuk menjawab surat tunjuk sebab.

“Tindakan selanjutnya akan diambil berdasarkan peraturan dan prosedur yang ditetapkan,” katanya.

Alwi berkata karikatur tersebut mungkin memudaratkan ketenteraman awam kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

“Karikatur tersebut dilihat mungkin memudaratkan ketenteraman awam kerana menggalakkan perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian dan prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

“Selain itu, ia juga secara tidak langsung seolah-olah mempersendakan Parlimen dan agama Islam kerana RUU 355 yang digambarkan dalam karikatur itu adalah berkait dengan hal ehwal agama Islam,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Sebuah akhbar Cina semalam bertindak luar batasan apabila menerbitkan karikatur yang memaparkan Abdul Hadi dan Pandikar sebagai monyet.

Pada 8 April lepas, akhbar berkenaan menyiarkan karikatur di portal mereka yang menggambarkan seekor monyet memakai songkok dan dilabelkan sebagai ‘speaker’ manakala seekor lagi monyet memakai serban dan diberi label “Hadi Awang’.

– SH