ISU JAMAL: AKTIVIS DITAHAN KELUAR KENYATAAN HASUTAN

KUALA LUMPUR  – Selepas Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos, aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi (gambar) pula ditahan berhubung isu pusat judi haram hari ini.

Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM itu ditahan oleh sepasukan polis di Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di pejabatnya di Villa Puteri, Jalan Tun Ismail di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Beliau ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan dalam satu rakaman video bertajuk Dicekup Polis Akibat Banteras Judi yang dimuat naik di laman YouTube dua hari lalu.
Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, Muhammad Yusuf ditahan tiga pegawai polis berpakaian preman ketika berada di pejabatnya sebelum dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk disoal siasat berkaitan rakaman video berdurasi 8 minit 23 saat itu.

“Kira-kira 10 aktivis termasuk peguam PPIM turut mengiringi beliau ke IPD Dang Wangi dan mereka diminta untuk meninggalkan bangunan berkenaan pada pukul 3.15 petang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, di sini hari ini.

Dalam rakaman video tersebut, Muhammad Yusuf mendakwa tindakan polis menahan Jamal sebagai tidak patut kerana beliau hanya membongkar ke­giatan pusat judi yang semakin berleluasa.

Beliau dalam rakaman itu turut menyatakan, sekiranya Jamal tidak dilepaskan, PPIM akan mengumpulkan ahli-ahlinya untuk membuat sesuatu.

“PPIM menerima banyak aduan mengenai segelintir agensi yang terlibat untuk menghapuskan pusat judi kurang efektif,” katanya.

Sementara itu, Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk Mohmad Salleh ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan, namun tidak mengulas lanjut.
– http://www.utusan.com.my/

.