ISU HARAPAN RAPUH SENGAJA DIPERBESARKAN: AZMIN

JOHOR BAHRU – Agenda kerapuhan Pakatan Harapan (Harapan) di Johor sengaja dibesar-besarkan untuk menimbulkan keraguan kepada rakyat sebelum menjelangnya pilihan raya akan datang.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, masalah itu dilihat secara tidak langsung menjejaskan persediaan pihaknya dalam memastikan kubu kuat Umno itu tumbang pada PRU14.

“Isu-isu kecil ini hanya dibesar-besarkan ketika menjelang piliharan raya, percayalah bila pilihan raya dekat nanti dan Pakatan Harapan semakin kuat fitnah juga semakin kencang.

“Perkara ini pasti berlaku. Mereka cuba pecahkan dan sentiasa memberikan imej kurang baik untuk Pakatan Harapan, namun itu bukan masalah kerana rakyat kini sudah tahu yang berita disebarkan media kini kebanyakannya dikuasai Umno dan Barisan Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ramah Mesra Masyarakat sempena Jelajah Keadilan Peduli Rakyat di Perumahan Rakyat Desa Cemerlang, di sini, hari ini.

Azmin berkata, pihaknya percaya masyarakat pandai menilai di mana kebenaran selain yakin golongan muda bakal menjadi pemain undi terbaik untuk pertembungan pilihan raya kali ini.

“Generasi muda kini mempunyai akses luas melalui media sosial dan media elektronik, bukan seperti dahulu jadi mereka susah untuk dikaburi. Saya yakin mereka boleh membuat pertimbangan yang lebih baik,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, Harapan tidak meletakkan kawasan tertentu untuk bertanding sebaliknya memilih seluruh Johor untuk ditawan pada PRU kali ini.

“Kita pandang serius seluruh kerusi bukan Johor Bahru sahaja, kerana kita melihat rakyat negeri ini sudah bersedia untuk membawa perubahan, sudah berani untuk menegakkan kebenaran.

“Seperti yang pernah saya nyatakan, kita juga bersedia dengan semua kemungkinan, di sini kita mempunyai barisan kepimpinan yang cukup berpengalaman berintegriti dan telah diuji bertahun tahun. Itu bukti mereka sedia untuk berkhidmat kepada masyarakat,” katanya.

– Sinar Harian

.