ISU HANGAT DI PULAU PINANG MENJELANG PRU14

BARISAN Nasional (BN) Pulau Pinang realistik.

Mereka mengakui peluang mereka menang tipis.

Semua usaha mereka mensasarkan untuk meningkatkan wakil MCA dan Gerakan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Tetapi itu tidak menghalang Ketua BN Pulau Pinang Teng Chang Yeow daripada merancang serangan agresif ke atas dasar kerajaan negeri pimpinan DAP yang disifatkannya tidak memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami sedar hakikat. Kami beritahu rakyat yang suara mereka penting dan perlu didengar Dewan Undangan Negeri, supaya kami boleh menghentikan dasar dan projek yang tidak bermanfaat kepada rakyat.

“Kami mahukan pembangkang yang lebih kuat dalam DUN. Matlamat kami adalah untuk mewakili suara penduduk bandar di Pulau Pinang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Selepas kalah di negeri itu pada 2008, BN hanya berjaya mengekalkan 11 kerusi DUN daripada 40 kerusi, semuanya milik Umno. Pada pilihan raya 2013 pula, Umno hanya berjaya mengekalkan 10 kerusi sementara MCA, Gerakan dan MIC gagal menang satupun.

Teng tidak menyatakan dengan jelas apakah isu yang akan digunakan BN untuk menyerang kerajaan Pakatan Harapan (PH), sebaliknya hanya mengatakan BN akan memperjuangkan isu yang penting kepada negeri itu.

“Saya tak boleh cakap sekarang. Ia strategi kami. Kami sedang menyediakan senarai isu yang akan didedahkan tak lama lagi.

“Manifesto itu akan berbeza berbanding sebelum ini. Ia akan ada faktor ‘aiyoh’, bukan faktor ‘wow’. Ia akan buat rakyat tertanya ‘adakah ini kerajaan yang kami undi?’,”

Pada pilihan raya lepas, kempen BN memaparkan beberapa majlis meriah, termasuklah rumah terbuka Tahun Baru Cina menampilkan bintang Korea, Psy yang terkenal dengan lagu “Oppa Gangnam Style”.

Sebuah konsert kebajikan juga diadakan pada April 2013 disertai artis tempatan dan antarabangsa dianjurkan oleh Kelab Kebajikan 1Malaysia.

Ahli perniagaan kontroversi, Jho Low yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membantu mendapatkan artis antarabangsa mengadakan persembahan di konsert itu.

Janji besar-besaran juga dibuat ketika kempen itu. Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan pembinaan 9,999 rumah mampu milik di kawasan majoriti orang Cina dipegang DAP iaitu Air Putih, Air Itam dan Paya Terubong.

1MDB adalah pemaju utama.

Beliau juga mengatakan jika BN berjaya merampas kembali Pulau Pinang, projek pembinaan terowong dasar laut akan dibatalkan dan status pelabuhan bebas cukai akan diberikan kembali kepada negeri itu.

Tetapi, pembangkang menang lebih besar majoriti pada 2013.

Melihat kembali isu yang pernah ditimbulkan pemimpin BN Pulau Pinang sejak beberapa tahun lepas, dijangkakan yang gabungan itu akan menggunakan beberapa isu pembangunan, terutama isu projek terowong dasar laut dan tiga lebuh raya yang hangat kini dan sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Projek terowong dasar laut adalah isu kontroversi yang dijangka akan dimainkan besar-besaran oleh BN bagi meraih sokongan rakyat Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 31 Januari, 2018.
Projek terowong dasar laut adalah isu kontroversi yang dijangka akan dimainkan besar-besaran oleh BN bagi meraih sokongan rakyat Pulau Pinang. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 31 Januari, 2018.

Gali terowong

Cadangan projek terowong dasar laut dan lebuh raya yang dikeluarkan pada 2011 adalah isu besar menjelang pilihan raya 2013, apabila BN mempersoalkan keperluan projek mega itu dianugerahkan kepada Consortium Zenith BUCG Sdn Bhd (kini Consortium Zenith Constructions Sdn Bhd) melalui tender terbuka.

SPRM mula menyiasat projek itu pada 2016 selepas aduan dilakukan beberapa ahli PH yang berpaling tadah; dan kini projek itu sekali lagi disiasat apabila beberapa serbuan dibuat dan individu ditahan dan direman untuk soal siasat.

Persoalan juga timbul mengenai kontrak, kos pelbagai kajian teknikal, serta bayaran pemindahan tanah bernilai RM208 juta kepada Consortium Zenith dan pihak berkepentingan dalam consortium itu yang berubah sejak 2013.

Lim Guan Eng menyifatkan siasatan itu sebagai “public lynching” menjelang pilihan raya dan menuduh BN mensabotaj projek itu.

Tambak laut di selatan Pulau Pinang

Cadangan tambakan laut besar-besaran di selatan pulau itu bertujuan membiayai projek gergasi Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) berharga RM27 bilion.

BN, nelatan tempatan dan kumpulan aktivis alam sekitar membantah projek tambakan laut itu kerana bimbang ia akan memusnahkan ekosistem laut dan pusat ternakan ikan yang seterusnya boleh menghancurkan kehidupan nelayan di situ.

Terdapat lebih kurang 1,500 nelayan di kawasan Parlimen Balik Pulau, tempat di mana tambakan laut itu dicadangkan.

BN menang kerusi Parlimen Balik Pulau dengan majoriti tipis 1,549 undi pada 2013. Semua tiga kerusi DUN di Balik Pulau- Teluk Kumbar, Bayan Lepas dan Teluk Bahang- juga dimenangi Umno-BN dengan majoriti antara 400 hingga 800 undi.

Perumahan mampu milik

Kekurangan perumahan mampu milik adalah satu lagi isu lama yang seringkali diulang main di Pulau Pinang, tempat harga hartanah mahal.

Ketua Umno Negeri Zainal Abidin Osman dilaporkan berkata pada Disember yang kerajaan persekutuan membina 34 projek perumahan mampu milik dengan hampir 6,000 unit pada 2008 hingga 2016.

Katanya terdapat 19 projek lagi sedang berlansung dan 39 projek dalam perancangan, menambah yang pada akhir 2018, kerajaan persekutuan akan membina 56,569 unit rumah mampu milik.

Exco Perumahan Pulau Pinang Jagdeep Singh memberitahu The Malaysian Insight yang sejak 2008 hingga 2017, 22,000 unit rumah mampu milik di bina oleh kerajaan negeri pimpinan PH kini.

Perumahan mampu milik adalah satu lagi isu hangat yang dijangka menjadi tumpuan semua pihak pada PRU14 nanti. Harga hartanah di Pulau Pinang yang kian meningkat menjadi isu yang diberi perhatian rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 31 Januari, 2018.
Perumahan mampu milik adalah satu lagi isu hangat yang dijangka menjadi tumpuan semua pihak pada PRU14 nanti. Harga hartanah di Pulau Pinang yang kian meningkat menjadi isu yang diberi perhatian rakyat terutama mereka yang berpendapatan rendah. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 31 Januari, 2018.

Jual tanah negeri

Kedua-dua belah pihak asyik bertelagah mengenai pentadbiran siapakah yang menjual lebih banyak tanah.

Pada Disember, BN Pulau Pinang menuduh kerajaan PH menjual 2,178.72 hektar tanah negeri sejak 2008 berbanding 1,074 hektar tanah dijual semasa BN menjadi kerajaan negeri selama 40 tahun.

Sejak beberapa tahun lepas, Lim menuduh BN menjual 36 kali ganda lebih banyak tanah tetapi menerima wang yang lebih sedikit berbanding jumlah diterima kerajaan sekarang.

Menurut kenyataannya pada Januari 2017, kerajaan sebelum ini menjual 1,481.55 hektar tanah dibandingkan hanya 42.93 hektar melalui tender terbuka yang diamalkan kerajaan sekarang.

Bagaimanapun, Lim mendakwa pentadbirannya menerima RM1.1102 bilion daripada jualan itu berbanding hanya RM1.0586 bilion diterima pentadbiran BN.

BN juga dijangka menimbulkan pajakan sebidang tanah berharga RM156 juta di Lebuhraya Peel menerusi Perbadanan Ketua Menteri kepada Island Hospital tahun lepas untuk projek Island Medical City bernilai RM2 bilion.

Gerakan Pulau Pinang sudah mempersoalkan mengapa ia dilakukan tanpa tender terbuka dan menuduh penjualan tanah itu hanyalah “keputusan seorang”.

Lim berkata keputusan memajak tanah itu dilakukan exco kerajaan negeri. Katanya, projek itu akan meletakkan Pulau Pinang sebagai bandar perubatan dan menjana nilai ekonomi RM7 bilion.

Banjir kilat besar yang melanda Pulau Pinang tahun lepas antara isu hangat pilihan raya berkaitan dakwaan ia berlaku kerana pembangunan tidak terkawal di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2018.
Banjir kilat besar yang melanda Pulau Pinang tahun lepas antara isu hangat pilihan raya berkaitan dakwaan ia berlaku kerana pembangunan tidak terkawal di negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari, 2018.

Banjir, tanah runtuh

Banjir kilat dan tanah runtuh yang kerap berlaku tahun lepas juga berkemungkinan besar akan menjadi topik hangat pada pilihan raya ini.

Hujan lebat yang turun pada September dan November lalu serta tanah runtuh yang membunuh 11 pekerja di tapak pembinaan di Tanjung Bungah Oktober lepas menimbulkan kebimbangan tentang pembangunan tidak terkawal dan membangkitkan kembali gesaan supaya pembangunan lereng bukit dihentikan.

BN Pulau Pinang juga menimbulkan situasi aktiviti penerokaan bukit yang dilakukan secara haram. Wakil rakyat Teluk Bahang Shah Headan Ayoob Hussain Shah mengatakan wujud aktiviti penggondolan bukit tidak terkawal di kawasannya.

BN juga mungkin menggunakan isu lain yang dibangkitkan pergerakan masyarakat sivil dan persatuan penduduk seperti bantahan mereka terhadap projek pembinaan padat di kawasan tinggi terutama sekali di lereng bukit.

Kemelut No. 50 Love Lane

Pada 2013, kerajaan negeri merampas hartanah sebelum perang di Love Lane, yang sebelum itu dimiliki Kongsi Eng Siew Kee dan diuruskan oleh lima ahli lembaga pengarah sejak 1909 kerana isu bayaran sewa.

Dikatakan wujud salah faham antara kerajaan negeri dan Majlis Suku Kaum Cina Pulau Pinang (PCCC) apabila kerajaan negeri dianggap akan memindahkan hak milik hartanah yang dipercayai mempunyai kaitan sejarah dengan masyarakat Cina Ghee Hin kepada PCCC dengan bayaran RM1.

Pengerusi PCCC Anthony Chang berkata pemegang amanah lepas menggesa majlis itu mengambil alih dan memulihkan bangunan bersejarah itu pada 2010 sebelum beliau meninggal.

Tetapi tahun lepas, pihak berkuasa meminta PCCC membuktikan ia mempunyai hubungan langsung dengan hartanah itu dan masalah timbul apabila PCCC tidak dapat memberikan bukti.

Kemelut hartanah itu dikatakan semakin rumit dan menjejaskan sambutan perayaan Tahun Baru Cina di George Town. PCCC yang merupakan penganjur majlis membatalkan acara itu, mengatakan ia tidak mendapat kerjasama dan sokongan kerajaan negeri tetapi mengubah keputusan itu minggu lepas.

Pertikaian mengenai hartanah dan majlis itu dilaporkan secara meluas oleh akhbar berbahasa Cina mungkin membantu BN meraih undi orang Cina terutama sekali di George Town.

Pulau Pinang dikenali dengan pelbagai bangunan dibina sebelum perang yang kini banyak diubah menjadi tempat tumpuan pelancong. Ada pihak merasakan ia menghilangkan jiwa dan identiti kota Tapak Warisan Budaya Dunia Unesco itu kerana banyak bangunan dijual kepada pihak asing. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 30 Januari, 2018.
Pulau Pinang dikenali dengan pelbagai bangunan dibina sebelum perang yang kini banyak diubah menjadi tempat tumpuan pelancong. Ada pihak merasakan ia menghilangkan jiwa dan identiti kota Tapak Warisan Budaya Dunia Unesco itu kerana banyak bangunan dijual kepada pihak asing. – Gambar The Malaysian Insight oleh David ST Loh, 30 Januari, 2018.

‘Pengkhianatan’ George Town

Gentrifikasi George Town yang merupakan Tapak Warisan Dunia Unesco adalah isu yang ditimbulkan aktivis juga mungkin menjadi isu hangat.

Bandar itu kehilangan ramai penyewa, perniagaan dan penduduk yang sudah lama menetap di situ sejak kebelakangan ini selepas rumah kedai zaman sebelum perang dijual kepada pelabur dan syarikat hartanag, atau diambil kembali oleh pemiliknya untuk diubah suai menjadi perniagaan menarik pelancong seperti hotel, restoran, kafe, galeri dan muzium.

“Warisan bukan masalah, masalahnya adalah pengkhianatan George Town,” kata Teng yang merupakan exco pelancongan negeri BN sebelum ini.

Beliau terlibat dalam usaha menyenaraikan George Town dalam senarai Unesco. Bandar itu dimasukkan ke dalam senarai pada Julai 2008, empat bulan selepas perubahan kerajaan.

“George Town kini dijarah orang Singapura,” katanya merujuk kepada syarikat hartanah Singapura yang membeli deretan rumah kedai zaman sebelum perang di bandar itu.

“Di mana karakter George Town? Setiap bangunan ada kisah, tetapi sekarang tiada lagi ceritanya.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.