Isu duit kopi: SPRM panggil Adun DAP beri keterangan

GEORGETOWN – Adun Sungai Pinang, Lim Siew Khim hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang bagi memberi keterangan berhubung kes rasuah melibatkan bapanya, Lim Kiat Seong, 68, dalam pemilikan hartanah rumah kos rendah di Sungai Pinang.

Beliau tiba di pejabat SPRM Pulau Pinang kira-kira jam 9.50 pagi tadi ditemani dua peguamnya, Ram Karpal Singh dan RSN Rayer.

Siew Khim yang juga Ketua Wanita DAP Pulau Pinang dilihat keluar dari pejabat SPRM kira-kira sejam setengah kemudiannya selepas selesai memberi keterangan kepada pegawai penyiasat.

Ram Karpal ketika ditemui berkata, Siew Khim sudah selesai memberi keterangan lengkap sebagai saksi berhubung kes berkenaan.

Menurutnya, proses merekod keterangan itu berjalan lancar apabila Siew Khim memberi kerjasama yang baik kepada pegawai penyiasat SPRM.

“Kehadirannya (Siew Khim) pada hari ini adalah sebagai saksi kepada semua suspek dalam kes ini. Beliau bukan suspek sebaliknya bertindak sebagai saksi sahaja dan keterangannya sudah diambil.

“Siew Khim kelihatan tenang memberi keterangan malah kita bersedia memberi kerjasama sekiranya SPRM memerlukan sebarang maklumat lain.

“Namun buat masa ini, keterangan yang diberikan Siew Khim sudah mencukupi. Sekiranya di masa hadapan SPRM memerlukan bantuan, kita bersedia untuk memberi kerjasama,” katanya kepada media di luar pejabat SPRM di Jalan Sultan Ahmad Shah hari ini.

Ram Karpal berkata, keterangan yang diberikan Siew Khim itu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 16(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Terdahulu, Gerakan mendedahkan bapa Siew Khim  didakwa meminta rasuah untuk ‘potong barisan’ bagi mendapatkan unit perumahan mampu milik di negeri ini.

Pendedahan dibuat Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang, Oh Tong Keong itu dibuat selepas videonya sedang melakukan perbuatan itu dipertontonkan dalam satu sidang media.

Dalam video berkenaan, ia menunjukkan seorang lelaki dipercayai individu bernama Keat Seong, bapa kepada Siew Khim sedang berbincang berhubung bayaran wang suapan berkenaan.

Susulan daripada itu, Isnin lalu, SPRM memulakan siasatan berhubung tindakan Kiat Seong dan beberapa individu lain, yang didakwa melalukan kesalahan berkenaan. – Sinar Harian

.