ISU BMF: LIM KIT SIANG HIPOKRIT, KEJAR JAWATAN?

KOTA  BHARU – Tindakan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempertahankan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikaitkan dengan skandal kewangan Bumiputera Malaysia Finance Ltd (BMF) membuktikan beliau seorang pemimpin yang hipokrit.

Ketua Umno Bahagian Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, sebelum ini Ahli Parlimen Gelang Patah itu merupakan individu yang paling lantang berjuang termasuk mendesak kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat segala bentuk skandal yang dikaitkan dengan pimpinan atasan.

“Namun kini Kit Siang sanggup mengenepikan prinsipnya semata-mata demi kepentingan dan kelangsungan politik beliau, bila Mahathir dikaitkan dalam isu kewangan BMF beliau diam seribu kata.

“Perjuangan beliau tidak kosisten, bukan untuk rakyat atau kepentingan politik sebaliknya untuk mendapatkan jawatan semata-mata,” katanya kepada media dalam Majlis Perjumpaan Khas dan Amanat Siap Siaga PRU14 BN Kota Bharu di sini, malam tadi.

Terdahulu, Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat (AS) mendedahkan dokumen mengaitkan Mahathir dengan skandal kewangan BMF, namun bekas Perdana Menteri itu berkata perkara tersebut dibangkitkan bermotifkan politik.

Menerusi kenyataan sebelum ini, Kit Siang dilihat seperti mempertahankan Mahathir dengan menyatakan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) jauh lebih serius berbanding skandal BMF.

– Sinar Harian

.